Wednesday 5 August 2015

Pandangan Pasar Tanjung bandar sepi Kuala Terengganu 1960an



Pada tahun 1960an saya bersekolah di dua buah sekolah rendah, iaitu Sekolah Melayu Lelaki Paya Bunga (Sekolah Kebangsaan Paya Bunga) dan Sekolah Pusat Bukit Besar (Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar).  Saya masih boleh ingat sedikit tentang keunikan bandar dan budaya di Kuala Terengganu.
Bandar Kuala Terengganu tidaklah besar mana, aktiviti utama masyarakat ketika itu adalah di tebing sungai Terengganu.  Air Sungai yang jernih inilah tempat utama aktiviti penduduk di kawasan itu.
Tiadak silap saya terdapat dua pasar di Kuala Terengganu, 1. adalah pasar Tanjung.  Pasar ini tempat jualan ikan, sayur dan lain-lain keperluan rumah dan dibuka pada waktu pagi. Ramailah pengunjung yang datang untuk membeli ikan dan sayur-sayuran.  Yang menjual ikan biasanya peniaga lelaki manakala sayur-sayuran pula kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Hampir semua peniaga ikan dan sayuran terdiri daripada kaum Melayu. 
Terdapat juga gerai-gerai ditepi pasar Tanjung yang menjual beras, tepung, sabun dan lain-lain keperluan barang kering.  Peniaganya pula terdiri daripada kaum India dan Cina. Tempat yang menarik adalah gerai yang menjual barang mainan kanak-kanak. Ketika itu  belum ada barang permainan yang diperbuat daripada plastik.
Model kereta, bas, lori, kapal terbang, kuda dan lain-lain kebanyakannya diperbuat daripada kepingan logam, kayu, batu dan resin? (lupa nama bahannya, contohnya  adalah bola ping pong).
Ikan-ikan biasanya dijual dengan pelbagai cara... yang paling biasa adalah ikan-ikan keci dan sederhana saiznya dijual secara longgok ataupun seekor-sekor.
Selonggok harga 1 Rial (seringgit) manakala seekor ikan kembong biasanya berharga 10 sen.
Saya pernah membeli kepala ikan merah yang besar yang dibelah separuh berharga 1 amah (50 puluh sen).
Sayur pula ada pelbagai seperti kacang panjang, kang kung, terung dan lain-lainnya. Sayur biasanya diikat dengan getah, seikat berharga 10 sen.
Ayam pula dijual secara hidup.  Pembeli terpaksa menyembelih sendiri ayam itu di rumah jika untuk dibuat lauk.  Jualan ayam adalah secara timbang kati (saya tidak tahu berkenaan harganya kerana tiada pengalaman membelinya).
Zaman itu belum ada peti simpan beku, malahan air batu yang dipecah-pecah pun amat sedikit dan bila ianya cair tiada lagi tempat penyimpanan ikan-ikan dan ikan-ikan itu akhirnya terpaksa dibuang atau diberi kepada mereka yang berminat secara murah atau percuma.  Saya pernah melihat ikan-ikan yang tidak dijual dibuang ke dalam longkang mereput begitu sahaja.  Namun saya difahamkan ada banyak yang di ambil atau dibeli untuk membuat keropok, dijemur untuk membuat ikan masin atau diambil untuk dibuat budu.
Di hadapan pasar tanjung terdapat deretan kedai batu yang menjual bahan kering dan ada juga dijadikan kedai kopi. Ada jalan besar, iaitu Jalan Tanjung yang memisahkan pasar dengan deretan kedai itu.
Tidak silap saya tapak pasar itu yang berhadapan simpang tiga dirobohkan dan dijadikan tempat setesen bas ekspres pada pertengahan tahun 1970an.
Pasar Tanjung menjadi kenangan saya kerana hampir setiap pagi saya akan membeli beberapa ekor ikan kembong dan sayur (emak bekalkan saya 1 ringgit) untuk dibeli dan dibawa balik.  Waktu itu 1963 saya dalam darjah 2 bersekolah disebelah petang.
Saya akan berjalan kaki dari Kampung Ladang menembusi Kampung Kolam dan sampailah ke tempat Pasar dengan menyeberang jalanraya.
Waktu itu membeli bahan makanan tidak boleh dibeli dengan banyak, biasanya untuk dimakan untuk hari itu sahaja.  Ini kerana tiadanya peti ais dan peti ais adalah benda mewah yang tidak ramai yang mampu memilikinya.
Pada zaman itu dikedai kopi, harga secawan kopi susu adalah 10 sen manakala tiada susu berharga 5 sen.
Sepinggan kecil nasi dagang berharga antara 10 hingga 30 sen sahaja.  Nasi dagang zaman itu sememangnya enak kerana lauknya banyak dan kuahnya berlemak santan.
Agak jarang saya jumpa nasi lemak berlaukkan sambal telur, ini mungkin kerana telur adalah benda mewah dan tidak banyak dijual.
Di belakang pasar terdapat perkampungan nelayan yang mendiri rumah-rumah kayu beratapkan nipah.  Rakan saya ada menetap dikampung itu dan pernah saya pergi melihatnya dirumah.  Rumah kayu berdindingkan belahan buluh dan kayu papan tidak tersusun dan kita berjalan dicelah-celah rumah diperkampungan itu.  Mungkin bila air laut pasang akan terdapat limpahan air dari sungai ke kawasan itu.  Ini kerana saya dapati kawasan perkampungan itu lembab.
Sekitar kawasan kampung amat kotor dan berbau namun kita kena ingat, zaman itu hampir semua bahan yang digunakan penduduk adalah bahan yang boleh dilupuskan secara biologi (Zaman belum ada bahan pelastik).
Apabila waktu tengahari, keadaan pasar menjadi lengang dan ramai penghuninya ke Masjid Putih (Masjid Zainal Abidin) untuk bersolat atau berihat.
Ketika Pasar Tanjung tutup terdapat satu lagi pasar yang akan dibuka untuk aktiviti jual beli iaitu Pasar Payang.
Pasar Payang terletak ditebing sungai, ketika air pasang banyaklah perahu nelayan berlabuh ditepi pasar ini dan ikan-ikan dipunggahkan kedalam bakul rotan yang besar dan dinaikkan ke dalam pasar.
Saya ingat hanya satu kali sahaja saya pergi ke pasar ini dengan ayah saya kerana waktu petang saya bersekolah dan pasar payang ini agak jauh jaraknya dari tempat saya tinggal (Kampung Ladang).

1 comment: