Wednesday 5 August 2015

Perjalanan dari K Terengganu KL 1960an

Pada tahun 1964, tiada perkhidmatan bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur secara terus. Untuk ke Kuala Lumpur terdapat dua cara, 1. Menaiki bas ekspress K Trengganu ke Kota Bharu, kemudian mungkin selepas tidur dihotel tepi Sungai Kelantan bolehlah naik feri keretapi menyeberang Sungai Kelantan ke stesyen keretapi Palekbang. Cara yang ke 2, adalah menaiki bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kemaman. Bas ekspres itu berwarna merah hati. Di Kemaman pula menaiki bas henti-henti ke bandar Kuantan. Bas berwarna aluminium akan sampai ke Kuantan di hentian bas tepi Sungai Kuantan. Stesen bas Kuala Terengganu sekarang telah menjadi stesyen teksi. Dari bandar kuantan (selepas tidur semalaman di hotel) bas ekspres tidak silap saya berwarna biru. Bas bergerak pagi dan sampai di stesen bas jalan Melaka pada waktu petang. Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, terdapat 9 buah sungai yang perlu di tempuhi dengan menggunakan perkhidmatan feri. Sungai-sungai berkenaan adalah seperti berikut: 1. Kuala Ibai 2. Sungai di Marang 3. Kuala Dungun (melalui Tanjung Jara) 4. Paka 5. Kemasik 6. Sungai Chukai 7. Sungai Kemaman 8. Sungai Kuantan 9. Sungai Temerloh Ada Feri yang digerakkan oleh bantuan bot, kadang-kadang dua buah bot digunakan bagi sungai-sungai yang lebar seperti Sungai Pahang di Temerloh, di Paka dan di Kuala Dungun. Lain-lain tempat agaknya feri itu digerakkan dengan menggunakan 2 tali kabel yang diikat pada feri dan di kedua-dua belah tebing sungai. Menaiki feri adalah amat merbahaya terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika arus sungai amat deras. Bilangan kenderaan yang boleh diisi atas feri amat terhad. Pernah saya melihat hanya ada satu sahaja lori pasir atas feri ketika menyeberang sungai. Pernah berlaku feri terbalik atau kenderaan menggelungsur ke dalam sungai. Saya masih ingat apabila bas berhenti di kampung seberang Dungun, deretan kenderaan menanti giliran untuk menyeberang Kuala Sungai Dungun. Dalam bas yang tidak berhawa dingin amat merimaskan apatah lagi bas itu juga membawa barang-barang yang dibeli oleh penumpang bas. Atas bumbung bas terdapat bagasi penumpang dan kadangkala ada basikal. Saya turun dari bas ketika mahu membuang air. Selepas membuang air (sudah tentu tepi parit aje) saya berjalan-jalan menyusuri jalan, Saya masih ingat dan hairan melihat beberapa jirat cina lama ditepi jalan. Mungkin jirat cina itu adalah pelaut yang mati ketika kapal atau jong mereka karam di laut berhampiran. Bila menyeberangi sungai saya dapati bas melalui pasar Dungun, bandarnya agak sesak dengan penjual dan teksi (beca). Bas bergerak perlahan kemudian terpaksa berhenti kerana ada keretapi hendak bergerak di Sura Gate. Saya melihat budak-budak sekolah menaiki keretapi dan bas ketika itu berhenti bersebelahan sekolah menengah Dungun (Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar). Pada tahun 1984 saya bekerja di bandar Dungun. Kesan landasan keretapi masih ada dan tempat di mana keretapi itu berehat masih ada di tempat pasar tani Sura Gate. Malah saya pernah melihat dan melalui gua keretapi di Nibong. Kesan lain adalah di pantai teluk lipat masih terdapat tunggul konkrit pelabuhan yang sudah tentu ianya adalah landasan keretapi. Kesan Pasar lama masih ada, pasar baru yang moden dengan parking kereta yang banyak dibina pada pertengahan tahun 1980an du hujung jalan Penaga dekat Sungai Dungun. I love Dungun. Penduduknya baik-baik, malah ada beberapa orang tempatan yang sangat baik dengan saya di Dungun.

1 comment: