Wednesday 28 December 2011

Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu


Gambar di atas (didapati dari blog sekolah lama) menunjukkan pelajar mungkin darjah tiga menguji kemahiran berjalan di atas tiang.  Saya agak gambar ini diambil pada tahun 1970an, berdasarkan jenis kereta di sebelah kiri bangunan dua tingkat.
Saya pernah bersekolah di sekolah ini bermula tahun 1962 hingga tahun 1964.  Seingat saya ketika itu rumah Guru Besar adalah berada di sebelah kiri bangunan kayu dua tingkat (dalam gambar).
Rata-rata guru datang ke sekolah naik basikal atau menaiki beca.  Tidak ramai berkereta kecuali guru besar.  Padang sekolah (amat kecil luasnya, setakat senaman bolehlah) ketika saya belajar baru ditambak dengan tanah bukit.  Keadaannya agak berbatu dan boleh mendatangakan kecederaan jika jatuh.  Di atas padang ini ditanam rumput dan di pagar dengan tanda pagar kayu agar tiada orang memijak rumput-rumput yang baru ditanam.  Oleh itu tiada aktiviti di depan bangunan dua tingkat semasa zaman saya bersekolah di situ.
Waktu itu semua pelajar adalah pelajar lelaki, manakala murid perempuan pula belajar di sebuah sekolah lain iaitu di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, dekat dengan mahkamah. Waktu itu mahkamah adalah terdiri daripada beberapa bangunan kayu, ketika berlangsung perbicaraan kita boleh mendengar hujah-hujah peguam dari luar bangunan.  Bangunan Mahkamah tidak lama selepas itu.... 1964  terbakar.... apinya boleh dilihat jauh dan ramai orang melihat kesan kebakaran bangunan mahkamah.
Saya pernah belajar dibangunan dua tingkat ini ketika di dalam darjah 2A ditingkat atas dan darjah 3A di tingkat bawah.  Ditingkat bawah hanya ada satu kelas sahaja iaitu darjah 3 A berkongsi dengan darjah 5A.  Di tingkat bawah terdapat pejabat sekolah dan ruang untuk rekreasi, biasanya tempat murid-murid bermain ping pong.
Masih saya ingat kelas di tingkat atas dipisah-pisahkan oleh dinding boleh ubah.... Oleh itu kadang-kadang kita boleh melihat dan mendengar kelas sebelah belajar.  Guru-guru semasa itu kebanyakannya bengis-bengis dan mereka selalu mendera pelajar yang tidak mematuhi arahan seperti tidak membuat kerja rumah atau gagal dalam peperiksaan.  Salah satu deraan yang saya ingat adalah dua pelajar didenda entah apa kesalahan mereka, guru telah menyuruh dua pelajar itu menyepit satu kayu pembaris T yang panjang antara perut masing-masing.  Di atas kayu pembaris itu diletakkan beg pelajar.  Pelajar itu terpaksa menahan beban beg tidak jatuh.  Kayu pembaris T yang bersaiz besar adalah digunakan untuk papan tulis.  Deraan seperti merotan, memukul kepala, menempeleng muka, mencubit dan kadang kala tendang terajang adalah lumrah dan diterima secara positif oleh pelajar.
Ramai diantara murid-murid terdiri dari anak nelayan yang miskin.  Rambut mereka disikat dan diminyakkan dengan minyak kelapa.   Buku tulis amatlah sikit bilangannya.  Selalunya buku tulis itu digunakan bagi berbagai mata pelajaran. 

Monday 26 December 2011

SEDIKIT CERITA DI SEKOLAH KEBANGSAAN PAYA BUNGA

Sekolah Kebangsaan Paya Bunga merupakan sekolah lama.  Tahun 1962, semua murid terdiri daripada pelajar lelaki.  Pakaian seragamnya ialah baju kemeja putih dengan seluar berwarna beach, (kuning koko, kata budak sekolah lain, 'wakpolah mu pake seluar guni!').  Bagi pelajar darjah satu, empat, lima dan enam  berada pada sesi pagi, manakala darjah dua dan tiga belajar pada sesi petang.
Kelas pelajar darjah satu adalah pada blok bangunan batu setinggkat.  Bangunan batu itu nampaknya baru sahaja siap dibina.  Bagi pelajar lain pula belajar di Bangunan kayu dua tingkat.  Bangunan tingkat atas berlantai kayu, dan kelas dipisahkan oleh diding kayu yang boleh dialih-alih.  Apabila pelajar bergerak maka bunyilah agak bising.  Oleh kerana pejabat dan Pejabat Guru Besar berada ditingkat bawah, murid-murid dilarang berlari, menggerakkan kerusi meja atau melompat-lompat kerana ia menyebabkan bunyi terlalu bising dan boleh menyebabkan Guru Besar dan pekerja di pejabat pening kepala, boleh juga menjadi 'gila'.  Oleh itu Guru Besar selalu meronda di tingkat atas dengan membawa rotan dan akan merotan sesuka hati mana-mana murid yang disyakki membuat bising.  Namun Guru Besar yang garang ini sebenarnya seorang guru yang baik.  Beliau ada anak yang belajar bersama-sama saya dalam kelas.  Kadang-kadang dapat merasa naik kereta Guru Besar Morris Minor ke bandar.  Rumah Guru Besar Bersebelahan dengan bangunan 2 tingkat itu.  Namun kedudukan rumah guru ini agak tak berapa selesa, kerana agak hampir dengan tandas budak sekolah.... Berbau najis manusia.  Bagi saya, bau najis manusia di Kuala Terengganu ketika itu amat biasa, kerana penduduknya membuang air besar di semak samun (Dalam rok).   Ketika itu amat sedikit sahaja tandas sempurna yang dibina di Terengganu.  Saya juga sering terserempak najis manusia di tepi sungai dan juga di tepi pantai.
Di sebelah kiri jika mengadap dari Jalan depan sekolah, Jalan Tok Lam, terdapat tanah perkuburan lama.  Disitu terdapat satu pokok yang amat besar.... murid-murid ada yang kata disitu hantu pelesit main buai dan yang terjuntai dari dahan pokok itu adalah rambut langsuir.  Agak menakutkan bagi kami.
Kubur lama disitu dan dikebanyakan tempat kebanyakannya hanya ditanda dengan batu sungai, atau kayu.  Tanda seperti nombor atau tulisan nama tidak ada.  Malahannya terdapat juga penduduk di Kuala Terengganu menanam mayat di tepi rumah mereka.  Kawasan kubur itu tersebar hingga ke kampung kolam dan juga sampai berhampiran dengan sekolah rendah perempuan Tengku Ampuan Mariam.
Saya pernah melalui kubur-kubur lama ketika pergi ke sekolah atau waktu balik ke rumah (masa darjah 2A).
Kawasan sekolah dipagar dengan pagar berduri.  Saya selalunya menggunakan pintu sebelah belakang kerana jalan disitu tidak berapa panas (kerana agak banyak pokok-pokok besar) berbanding menggunakan Jalan Tok Lam dan Jalan Paya Bunga (sekarang dinamakan Jalan Sultan Ismail).
Sebelahan kantin sekolah terdapat gelanggang terbuka badminton yang juga boleh digunakan bagi gelanggang sepak raga (sekarang dikenali sebagai sepak takraw).  Waktu tengahari bila murid-murid darjah dua dan tiga datang mereka kebanyakannya bermain-main di atas gelanggang itu.
Permainan seperti berlawan guli, berlaga buah getah, berlawan lastik, dimana getah pengikat berwarna warni diadu dengan meletakkannya diatas rentangan getah....dan kita perlu melastik dengan getah ikat kearahnya supaya susunan getah pengikat berwarna warni terjatuh.  Mana-mana yang jatuh menjadi kepunyaan pelastik.
Gambar lama dari SKPaya Bunga. Perhatikan bangunan dua
tingkat.  Di tingkat bawah ada kelas Darjah 3/5 dan pejabat.
Ada juga bermain kad bola.  Kad bola empat segi dilipat menjadi bentuk V, disusun secara terbalik.  Pada dinding kad dinomborkan.  Bola adalah gumpalan kertas ataupun daripada kacang putih.  Pemain perlu menekan dengan pantas kad dan bola yang hampir dengan kad itu akan melayang diarahkan ke tempat tanda gol.  Saya sering membuat kad-kad bola dirumah.

Peristiwa Darjah 1

Ketika darjah satu masing-masing takut dengan cikgu.  Terdapat satu peristiwa rakan kelas terberak dalam kelas. Bau busuk menusuk hidung.  Cikgu minta ketua darjah bawa pelajar itu dan basuh di paip air dekat kantin.  Pelajar lain diminta ambil baldi merah untuk melawan kebakaran diisi dengan pasir dan ditambunkan atas najis di bawah meja itu. Najis itu ada juga terlekat di serata tempat.  Aduh... siksanya.
Kantin sekolah, mungkin dibina pada tahun
1967. Sebelum ini kantin amat kecil dengan jualan nasi dagang, air dan kacang putih.
  

Penulis juga pernah terasa nak membuang, tapi bila pergi ke tandas di sebelah bangunan dua tingkat, tak jadi nak membuang.  Tandas itu merupakan bangunan yang asasnya batu bertangga, naik tangga kena buka pintu kayu, dan kena mencangkung dan najis akan jatuh ke dalam lubang di mana terdapat satu baldi besar untuk mengumpul najis.  Bila melihat keadaan tandas, tak jadi nak membuang.... namun bila tak tahan penulis balik 'tembor' (keluar tanpa minta kebenaran guru), berlari ke rumah entah berapa jauhnya ke perumahan polis jalan paya bunga.  Lepas membuang, berlari balik ke kelas.  Nasib baik cikgu tidak perasan, dan saya belajar seperti biasa.
Ayah penulis bergaji kecil, memberi hanya 10 sen sebagai duit saku. Kalau beli nasi dagang berharga 10 sen sepinggan habislah duit.... minumlah air paip untuk hilangkan dahaga.
Pernah bila balik sekolah ada kawan ajak naik 'teksi' di depan pintu pagar sekolah.  Tambang teksi ketika itu ke Balai Polis Paya Bunga 15 sen.  Penulis tidak mampu... oleh itu jalan kakilah.
Waktu rehat ramai kawan-kawan berlari-lari ke arah kantin.  Mula-mula saya turut ikut sama berlari ke arah kantin.  Di kantin kawan-kawan berebut-rebut membeli makanan seperti nasi dagang, goreng pisang dan macam-macam juadah termasuk kacang putih.... Namun akhirnya saya tidak lagi mengikut rakan-rakan berlari ke kantin kerana saya tak ada duit untuk belanja/ pitih tak dok.
Untuk mengelak kawan-kawan mencari saya, bila rehat saya akan keluar lambat dari kelas... saya biarkan mereka keluar dahulu.... selepas seketika barulah saya keluar berjalan-jalan jauh dari rakan-rakan.  Saya akan duduk memerhati kubur-kubur lama berhampiran sekolah di kaki lima bagunan setingkat kelas.  Kadang-kadang ada kawan yang datang ke tempat saya berdiri/duduk dan bagusnya ada juga yang menghulur sedikit makanan untuk saya rasa...Namun tidak selalu saya dapat rezeki itu. Jika tak ada rakan yang hulur makanan maka sangatlah lapar saya dan amat tidak bermaya rasanya ketika balik dari sekolah ke rumah dengan berjalan kaki.
Untuk elakkan rasa sakit perut kerana lapar, saya banyak minum air kosong, air daripada paip yang ada di sekolah.  Saya akan minum sepuas-puasnya.  Aktiviti minum air paip ini saya lakukan sehinggalah saya bersekolah menengah di tingkatan satu.

Persekolahan

1962, bersekolah di Sekolah Kebangsaan Paya Bunga.  Ayah seorang anggota Polis, duduk di berek G.  Berjalan kaki dari berek polis melintasi jalan paya bunga  melalui padang paya bunga (sekarang dah jadi stadium Sultan Ismail), Sampai di bangunan kayu Mahkamah, bergerak ke kanan melalui kampung ke pagar belakang sekolah.  Sekolah rendah terdapat Dua Bangunan Kelas.  Satu bangunan batu setingkat dan disitu saya ditempatkan Darjah 1B.  Bangunan kayu dua tingkat menempatkan kelas darjah 4, 5 dan 6.  Depan Bangunan dua tingkat tempat assembli pagi. Adalah sedikit kawasan padang.
Ada kantin kecil yang setiap pagi menjual teh, kopi panas, nasi dagang, dan juga terdapat penjual kacang putih. Kawan-kawan yang lain ada yang berjalan kaki, naik basikal dan yang agak loaded naik beca beroda tiga yang dipanggil 'teksi'.
Guru Darjah 1B baik-baik dan saya seronok belajar dan telah boleh membaca rumi dan jawi dengan baik
. Namun ada suatu peristiwa di mana saya rasa dihina oleh seorang guru practical.  Guru ini menjadikan saya kambing hitam untuk mendapat perhatian pelajar lain.  Suatu hari guru ini menyoal ejaan.  Saya tak reti nak eja 'BUNGA'..... maklumlah darjah satu dulu-dulu.  setakat eja SEKOLAH masih boleh. Maka bila tak boleh jawab kenalah berdiri.... udahlah kena berdiri atas meja, kena sindir dan dipermain-mainkan oleh guru itu.  Jikalah perkara itu berlaku pada waktu sekarang alamat Cikgu tu mampus kena belasah...... saya tidak maafkan guru itu kerana caranya tidak betul.  Lain-lain guru semua okay.