Thursday 14 November 2013

Kuala Terengganu tempat saya membesar zaman kanak-kanak

Ayah saya (Tn. Hj. Abd Malek bin Mahmud) bekerja sebagai anggota polis di bahagian pengangkutan (transport department). Arwah dahulu bersekolah di 'trade school' Jalan Kolam Air berhampiran Maxwell Sschool di Kuala Lumpur. Sekolah tersebut telah dipindahkan ke Cheras dan dinamakan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Manakala tapak asal sekolah 'trade school' itu telah berubah menjadi sekolah berasrama penuh perempuan Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Perempuan Jalan Kolam Air dan kini berubah pula menjadi Sekolah Menengah Sains Puteri. Pada awalnya ayah saya bertugas di pengkalan polis jalan padang tembak Kuala Lumpur 1950 hingga 1958. Saya dilahirkan pada tahun 1955 dan hanya ingat sedikit sahaja. Pada awal tahun 1959 ayah dan keluarga saya berpindah ke Kuala Terengganu. Saya masih ingat ketika itu menaiki keretapi malam. Keretapi itu sebenarnya hanya untuk ke Singapura jadi terpaksalah turun di setesyen keretapi Gemas untuk menukar train ke Pantai Timur. Ketika itu kepala keretapi adalah berwarna hitam dan mengeluarkan banyak asap. Apabila sampai di suatu stesyen selepas bergerak lebih kurang 20 batu kepala keretapi itu perlu berhenti untuk ditambah air kerana keretapi itu digerakkan oleh 'wap air'. Selepas menaiki keretapi di Gemas untuk menuju ke Pantai Timur kami turun di stesyen keretapi Palekbang Kelantan. Kemudian menaiki feri ke bandar Kota Bharu dan tinggal semalaman di hotel bajet tepi sungai. Keesokan harinya kami menaiki bas (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan) berwarna biru muda dengan lambang kijang dan tulisan jawi. Bas negeri Kelantan amat unik dan tidak sama seperti keadaan bas di Terengganu ketika itu (Mungkin bas itu didatangkan dari Thailand). Bas teresbut membawa kami ke Kuala Terengganu. Dari tahun 1959 hingga 1964 keluarga saya pernah tinggal dibeberapa tempat dan setiap tempat itu membawa suatu kenangan yang amat unik. Tempat-tempat itu adalah 1. Di rumah besar yang dikongsi dengan beberapa keluarga lain di Gong Kapas, 2. Berek kelas H di berek polis Kuala Terengganu, 3. Rumah sewa di Kampung Kolam, 4. berek polis kelas G, 5. berek polis kelas E, 6. Rumah sewa di Kampung Ladang dan terakhirnya di Berek Polis 4 tingkat kelas F berwarna biru. Pada peringkat awal kami menduduki rumah banglo besar di belakang sekolah Cina SRJK (C) Chung Hwa Wei Sin ketika itu di Jalan Kota Bharu yang bersambung dengan Jalan Gong Kapas. Kedua-dua Jalan itu kini dinamakan Jalan Sultan Mohamad. Rumah itu berkongsi keluarga (sama macam dalam filem P. Ramlee dalam cerita Bujang Lapok). Rumah itu adalah rumah kayu yang mempunyai beberapa bilik dibina atas kayu yang tinggi. Mempunyai tangga batu di hadapan rumah dan dapur yang dikongsikan di belakang rumah. Ketika itu saya masih ingat ayah saya membeli sebuah basikal roda tiga. Basikal itu boleh membawa penumpang di belakangnya. Basikal itu amat kukuh dan hanya hancur bila dikerjakan oleh saya dan sepupu-sepupu saya pada tahun 1966 di KL.

TAPAK PERMAINAN KANAK-KANAK DI BEREK POLIS KUALA TERENGGANU 1960an

Saya bukanlah anak Terengganu dan saya sememangnya tidak mahir 'kecek dialek Terengganu.  Saya ketika tahun awal 1960an menetap dan membesar sebagai kanak-kanak yang sentiasa 'curious' tentang macam-macam hal disekeliling.  Pada waktu itu tidak ada tv dan aktiviti kanak-kanak yang begitu 'curious' adalah 'adventure' seperti 'merayap' berjalan-jalan untuk meneroka kawasan baharu, memanjat pohon-pohon seperti pokok jambu bongkok, jambu air atas jirat cina, pokok kelapa dan sebagainya atau pun mempunyai hobi seperti menangkap dan membela ikan laga (saya ingat budak-budak memanggil nama ikan sekilar), mengumpul kotak-kotak rokok terpakai, mengumpul gelang getah (rubber bands), mengumpul sampul gula-gula seperti gula 'hacks' dan ada kalanya main berlaga buah getah.  Di waktu sebelah petang ketika hari sudah tidak panas terik, budak-budak di berek polis Kuala Terengganu akan tertumpu di tempat permainan berhampiran padang.  Pelbagai alat permainan ada di tempat itu (ada dua gelungsur yang berbeza ketinggiannya, buaian, jongkang-jongkek, alat mengayun (satu tiang besi di atas terdapat kepingan besi yang disambung dengan beberapa rantai, dihujung rantai ada rod besi empat segi tempat budak-budak bergayut.  8 orang budak boleh bergayut dan berpusing).
Di belakang tapak permainan ini ada satu bangunan konkrit berbentuk 'U' terbalik tanpa tingkap.  Atas atap adalah corong udara kecil.  Didepan bangunan terdapat pintu besi yang berkunci.  Tidak ada kanak-kanak yang berani mendekati bangunan itu disebabkan terdapat papan tanda warna merah bertulis 'Do not Enter' dan ada gambar sesaorang menembak dengan senapang dan terdapat gambar mangsanya tengah nak jatuh dengan kedua-dua tangan mengadah ke arah atas.
Kemungkinan bangunan itu adalah stor bahan letupan kerana binaannya begitu kukuh dan mungkin sudah tidak digunakan lagi.  Terdapat juga sebuah tugu konkrit lama berhampiran dengan bangunan itu.

Di situ terdapat sebuah padang di mana terdapat jalan tanah mengelilingi padang itu.  Antara tempat permainan dengan padang terdapat dua pokok besar dan di bawah pokok besar ini terdapat rumput-rumput hijau yang tebal dan sangat selesa jika kita duduk di atasnya kerana ianya agak redup dan sejuk.

Saya mengingati tempat ini kerana dalam tahun 1962 (saya berumur 7 tahun), saya dan beberapa rakan sebaya 'ternampak' hantu di situ.
Saya akan ceritakan kisah 'hantu/jin' ini pada waktu lain. Zaman kanak-kanak inilah yang amat saya ingat bila sudah tua sebegini kerana zaman itu amat jauh berbeza berbanding dengan zaman kanak-kanak kini.  Zaman saya sebagai kanak-kanak perlukan kawan, tanpa kawan tak adalah 'adventure', hobi dan lain-lain. Saya hanya boleh cerita kerana ketika itu tidak ada kamera, dan hobi berkamera adalah hobi untuk orang-orang kaya sahaja....

Wednesday 13 November 2013

Aktiviti Menyanyi di Sekolah Paya Bunga Kuala Terengganu

Ketika darjah 2 dalam tahun 1963, 15 September (AHAD).  Suatu hari Cigu Kelas saya bernama En. Muda meminta anak muridnya membawa 'apa-apa makanan dari rumah' dan cawan untuk digunakan dalam jamuan bersama untuk menyambut HARI LAHIRNYA MALAYSIA.
Pada hari  Isnin 16 September 1963.
Pada hari berkenaan semua pelajar dan staf Sekolah Kebangsaan Paya Bunga berhimpun.  Ada ucapan, nyanyian, sajak, tarian dan macam-macam lagi.  Selepas acara berkenaan maka kami pun sama-sama ke kantin dan terus membuka dan mempamirkan makanan yang di bawa dari rumah masing-masing.  Ada yang bawa biskut, nasi dagang ikan aye, roti paun, coklat Van Houten (sedap ooo, coklat nipis dibalut dengan kertas lilin dan kertas aluminium nipis), kek serta buah-buahan (jambu golok kekadang dipanggil 'keterah', buah kelubi, buah bijai, buah sentul).... tak ada pulak yang bawa apple, orange...
Saya pula membawa sebungkus 'kacang goreng' dalam bungkusan kertas surat khabar yang dibeli di kedai belakang berek polis (Jalan Batas Baru). 
Cikgu pula menjerang air dalam periuk yang besar (sesuai untuk masak nasi), dan bila sudah masak airnya (guna dapur kayu), teh serbuk dan susu tin cap api digunakan. Setiap pelajar mengambil air itu untuk diminum beramai-ramai.

Acara nyanyian kelas adalah yang paling menarik;

Chang mali chang, ketipong payong.
Di mana dia anok kambing saya,
Anak kambing saya ada di tepi sawoh,
di mana dia chinta hati saya
Chinta hati saya yang pakai baju meroh...
 
Anok rusa nani
baghu kembang eko
apa dosa kami
lalu tidok tego

Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basika macang beruk
Gi Ppasso curi kepok
Balik ddumoh, sakik peruk
Gi hospita, hospita tutuk
Gi ddumoh Tok Bidang, Tok Bidang ketukkk


Naik bas kompani,
jatuh dalang rok,
ayoh mu mati
mu jangang belawok






BANJIR DI PAHANG 2007. Ketika itu saya bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Teknik Pertanian Chenor Pahang. Dalam video yang diambil dari youtube, yang mengemudi bot bantuan adalah PAK LANG (En. Samsudin bin Awang Yusoh).... saya pernah memohon kepadanya agar membenarkan membawa saya menaiki bot jika berlaku banjir lagi. Namun tahun-tahun berikutnya tiada banjir besar terjadi di Chenor Pahang.


 
 
 

Tuesday 5 November 2013

PENCEN

Kini saya tinggal di Johor Bahru. Semasa bekerja dulu dalam ofis ada akuarium yang bersaiz agak kecil iaitu 2 kaki x 1 1/2 kaki. Ada kalanya membela ikan emas, kemudian ikan emas diganti dengan ikan sungai pemberian cikgu yang baik hati iaitu Tuan Hj. Jamaludin, iakan yang diberi adalah ikan kelah dan kemudian ikan lampam sungai. Setelah ikan-ikan itu ada yang mati ketika pam air akuarium tidak berfungsi (blackout semasa cuti sekolah), saya telah menggantikannya dengan ikan jenis 'guppy'. Seronok benar melihat ikan-ikan comel ni sehingga ada yang melahirkan anak-anak kecil. Maka apabila sudah bersara saya telah membeli dua akuarium, satu bersaiz 4 kaki x 1.5 kaki dan satu lagi bersaiz kecil 1 kaki x 1 kaki. Akuarium besar saya membela ikan sungai yang dibeli dari kedai akuarium di bandar Temerloh. Ikan-ikan itu sebanyak 20 ekor, iaitu terdiri daripada ikan kelah, ikan tengas, ikan lampam sungai dan ikan jelawat.

KEADAAN BANJIR 1960an KUALA TERENGGANU

Pada tahun 1960an dihujung tahun selalunya hujan monsoon dan sering berlaku banjir yang memakan beberapa hari. Sayangnya pada waktu itu keluarga saya tiada kamera untuk dijadikan gambar kenangan. Hobi mengambil gambar hanya dinikmati oleh orang-orang berada walaupun ada juga kakitangan kerajaan memiliki kamera dan juga alat mencetak gambar di rumah. Saya akan cuba menceritakan sedikit sebanyak pengalaman ketika banjir pada ketika itu. Tahun 1965 saya bersekolah di Sekolah Pusat Bukit Besar. Dalam bulan Disember (waktu akhir persekolahan) saya menunggu bas di jalan Wireless (Jalab Sultan Omar) berhampiran bengkel kenderaan Polis Kontigen Terengganu. Bas kompani datang mengambil beberapa orang pelajar (ketika itu pelajar lelaki memakai baju putih berlengan pendek dan berseluar pendek putih, berkasut kain putih tanpa memakai stokin, pelajar perempuan pula berbaju kurung putih dengan kain bewarna biru gelap) dan terus memabawa ke sekolah pusat bukit besar. Sekolah ini terdapat bulatan (round about) di depan dalam kawasan sekolah. Semasa waktu rehat saya dan beberapa rakan kelas berjalan ke tepi pagar dan melihat kawasan sawah telah dipenuhi air banjir. Waktu itu hujan renyai-renyai tanpa henti. Bagi kanak-kanak seperti kami di Kuala Terengganu ketika itu, hujan renyai-renyai adalah perkara kecil dan tidak perlu menggunakan payung atau memakai baju hujan. Malahan ketika itu mempunyai payung dan baju hujan adalah dinikmati oleh anak-anak orang kaya sahaja. Selepas rehat kami ke kelas untuk diajar oleh guru-guru kami yang rata-ratanya muda belia. Selepas tamat persekolahan saya dan beberapa pelajar yang menaiki bas merasa resah kerana bas sekolah tidak datang untuk mengambil kami pulang. Akhirnya bila terlalu lama menunggu kami pun berpakat berjalan kaki sahaja ke rumah. Sudah tentu kami akan berjalan melalui jalan-jalan raya yang telah pun banjir. Dari jalan pasir panjang kami belok ke kiri ke jalan Kota Bharu (Jalan Sultan Mohamad). Menuruni bukit air sudah ke paras pinggang ( saya ketika itu tinggi 4.5 kaki). Tiada kenderaan melalui jalan itu kecuali lori-lori JKR mengangkat barang-barang rumah yang terjejas. Apabila melihat kami beramai-ramai meredah air bah di jalan Hiliran, ada lori-lori JKR berhenti dan menyuruh kami panjat ke atas lori di bawa hingga ke tempat yang tidak lagi banjir di Jalan Air Jernih (kawasan berbukit). Dari situ kami jalan ke arah bandar untuk ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan itu di kiri jalan terdapat beberapa rumah kayu yang hanyut kesan arus deras banjir. Pada waktu itu kebanyakan rumah penduduk adalah ditempat yang agak berpaya dan Kuala Terengganu ketika itu banyak kawasan berpaya. Kami budak budak sekolah tidak merasa penat malah seronok meredah banjir walaupun pakaian dan peralatan sekolah semuanya basah. Berdecit-decit kami berjalan kerana dalam kasut (saya memakai kasut kain putih bercap 'arrow', harganya lebih murah berbanding kasut Bata). Hujung kasut dah ternganga kerana koyak akibat terkena air. Saya tinggal diberek polis dan di kawasan padang Polis terdapat berpuluh-puluh helikopter tentera yang digunakan untuk menyelamat penduduk yang terkena banjir. Bunyik deruman enjin helikopter berwarna hijau gelap disertai dengan angin putaran kipas diperhati dengan penuh takjub oleh penduduk yang mengerumuni padang itu. Ketika itu helikopter yang digunakan adalah kepunyaan tentera British manakala tentera Tanah Melayu hanya ada dua buah sahaja helikopter. Kami budak-budak Melayu amat teruja melihat pemuda Melayu yang memandu salah satu helikopter tersebut... Di rumah ketika waktu malam akan terdengar dentuman ombak dengan disertai angin monsoon yang bertiup kencang. Apabila waktu siang kami budak-budak lelaki akan meredah air diatas padang berhampiran helikopter. Ada juga budak-budak yang membuat bot dari kulit kelapa. Diletaknya layar yang diperbuat daripada kertas yang diperkukuh oleh lidi kelapa dan dicucuk ke atas sabut kelapa. Kemudi bot diperbuat daripada daun kelapa. Sungguh seronok melihat bot (atau kapal) bot itu ditiup angin bergerak atas air banjir.