Thursday 14 November 2013

Kuala Terengganu tempat saya membesar zaman kanak-kanak

Ayah saya (Tn. Hj. Abd Malek bin Mahmud) bekerja sebagai anggota polis di bahagian pengangkutan (transport department). Arwah dahulu bersekolah di 'trade school' Jalan Kolam Air berhampiran Maxwell Sschool di Kuala Lumpur. Sekolah tersebut telah dipindahkan ke Cheras dan dinamakan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Manakala tapak asal sekolah 'trade school' itu telah berubah menjadi sekolah berasrama penuh perempuan Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Perempuan Jalan Kolam Air dan kini berubah pula menjadi Sekolah Menengah Sains Puteri. Pada awalnya ayah saya bertugas di pengkalan polis jalan padang tembak Kuala Lumpur 1950 hingga 1958. Saya dilahirkan pada tahun 1955 dan hanya ingat sedikit sahaja. Pada awal tahun 1959 ayah dan keluarga saya berpindah ke Kuala Terengganu. Saya masih ingat ketika itu menaiki keretapi malam. Keretapi itu sebenarnya hanya untuk ke Singapura jadi terpaksalah turun di setesyen keretapi Gemas untuk menukar train ke Pantai Timur. Ketika itu kepala keretapi adalah berwarna hitam dan mengeluarkan banyak asap. Apabila sampai di suatu stesyen selepas bergerak lebih kurang 20 batu kepala keretapi itu perlu berhenti untuk ditambah air kerana keretapi itu digerakkan oleh 'wap air'. Selepas menaiki keretapi di Gemas untuk menuju ke Pantai Timur kami turun di stesyen keretapi Palekbang Kelantan. Kemudian menaiki feri ke bandar Kota Bharu dan tinggal semalaman di hotel bajet tepi sungai. Keesokan harinya kami menaiki bas (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan) berwarna biru muda dengan lambang kijang dan tulisan jawi. Bas negeri Kelantan amat unik dan tidak sama seperti keadaan bas di Terengganu ketika itu (Mungkin bas itu didatangkan dari Thailand). Bas teresbut membawa kami ke Kuala Terengganu. Dari tahun 1959 hingga 1964 keluarga saya pernah tinggal dibeberapa tempat dan setiap tempat itu membawa suatu kenangan yang amat unik. Tempat-tempat itu adalah 1. Di rumah besar yang dikongsi dengan beberapa keluarga lain di Gong Kapas, 2. Berek kelas H di berek polis Kuala Terengganu, 3. Rumah sewa di Kampung Kolam, 4. berek polis kelas G, 5. berek polis kelas E, 6. Rumah sewa di Kampung Ladang dan terakhirnya di Berek Polis 4 tingkat kelas F berwarna biru. Pada peringkat awal kami menduduki rumah banglo besar di belakang sekolah Cina SRJK (C) Chung Hwa Wei Sin ketika itu di Jalan Kota Bharu yang bersambung dengan Jalan Gong Kapas. Kedua-dua Jalan itu kini dinamakan Jalan Sultan Mohamad. Rumah itu berkongsi keluarga (sama macam dalam filem P. Ramlee dalam cerita Bujang Lapok). Rumah itu adalah rumah kayu yang mempunyai beberapa bilik dibina atas kayu yang tinggi. Mempunyai tangga batu di hadapan rumah dan dapur yang dikongsikan di belakang rumah. Ketika itu saya masih ingat ayah saya membeli sebuah basikal roda tiga. Basikal itu boleh membawa penumpang di belakangnya. Basikal itu amat kukuh dan hanya hancur bila dikerjakan oleh saya dan sepupu-sepupu saya pada tahun 1966 di KL.

No comments:

Post a Comment