Saturday 18 February 2012

Perjalanan dari K Terengganu KL 1960an



Pada tahun 1964, tiada perkhidmatan bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur secara terus. Untuk ke Kuala Lumpur terdapat dua cara, 1. Menaiki bas ekspress K Trengganu ke Kota Bharu, kemudian mungkin selepas tidur dihotel tepi Sungai Kelantan bolehlah naik feri keretapi menyeberang Sungai Kelantan ke stesyen keretapi Palekbang. Cara yang ke 2, adalah menaiki bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kemaman. Bas ekspres itu berwarna merah hati. Di Kemaman pula menaiki bas henti-henti ke bandar Kuantan. Bas berwarna aluminium akan sampai ke Kuantan di hentian bas tepi Sungai Kuantan.
Stesen bas Kuala Terengganu sekarang telah menjadi stesyen teksi.
Dari bandar kuantan (selepas tidur semalaman di hotel) bas ekspres tidak silap saya berwarna biru. Bas bergerak pagi dan sampai di stesen bas jalan Melaka pada waktu petang.
Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, terdapat 9 buah sungai yang perlu di tempuhi dengan menggunakan perkhidmatan feri. Sungai-sungai berkenaan adalah seperti berikut:
1. Kuala Ibai
2. Sungai di Marang
3. Kuala Dungun (melalui Tanjung Jara)
4. Paka
5. Kemasik
6. Sungai Chukai
7. Sungai Kemaman
8. Sungai Kuantan
9. Sungai Temerloh

Ada Feri yang digerakkan oleh bantuan bot, kadang-kadang dua buah bot digunakan bagi sungai-sungai yang lebar seperti Sungai Pahang di Temerloh, di Paka dan di Kuala Dungun. Lain-lain tempat agaknya feri itu digerakkan dengan menggunakan 2 tali kabel yang diikat pada feri dan di kedua-dua belah tebing sungai.
Menaiki feri adalah amat merbahaya terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika arus sungai amat deras. Bilangan kenderaan yang boleh diisi atas feri amat terhad. Pernah saya melihat hanya ada satu sahaja lori pasir atas feri ketika menyeberang sungai. Pernah berlaku feri terbalik atau kenderaan menggelungsur ke dalam sungai.
Saya masih ingat apabila bas berhenti di kampung seberang Dungun, deretan kenderaan menanti giliran untuk menyeberang Kuala Sungai Dungun. Dalam bas yang tidak berhawa dingin amat merimaskan apatah lagi bas itu juga membawa barang-barang yang dibeli oleh penumpang bas. Atas bumbung bas terdapat bagasi penumpang dan kadangkala ada basikal. Saya turun dari bas ketika mahu membuang air. Selepas membuang air (sudah tentu tepi parit aje) saya berjalan-jalan menyusuri jalan, Saya masih ingat dan hairan melihat beberapa jirat cina lama ditepi jalan. Mungkin jirat cina itu adalah pelaut yang mati ketika kapal atau jong mereka karam di laut berhampiran.
Bila menyeberangi sungai saya dapati bas melalui pasar Dungun, bandarnya agak sesak dengan penjual dan teksi (beca). Bas bergerak perlahan kemudian terpaksa berhenti kerana ada keretapi hendak bergerak di Sura Gate. Saya melihat budak-budak sekolah menaiki keretapi dan bas ketika itu berhenti bersebelahan sekolah menengah Dungun (Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar).
Pada tahun 1984 saya bekerja di bandar Dungun. Kesan landasan keretapi masih ada dan tempat di mana keretapi itu berehat masih ada di tempat pasar tani Sura Gate. Malah saya pernah melihat dan melalui gua keretapi di Nibong.
Kesan lain adalah di pantai teluk lipat masih terdapat tunggul konkrit pelabuhan yang sudah tentu ianya adalah landasan keretapi. Kesan Pasar lama masih ada, pasar baru yang moden dengan parking kereta yang banyak dibina pada pertengahan tahun 1980an du hujung jalan Penaga dekat Sungai Dungun. I love Dungun. Penduduknya baik-baik, malah ada beberapa orang tempatan yang sangat baik dengan saya di Dungun.

Monday 30 January 2012

1963 PEMBINAAN STADIUM TERENGGANU

Stadium Sultan Ismail dahulunya dinamakan Stadium Kuala Terengganu.  Tapak stadium itu adalah sebidang padang yang dikenali sebagai 'padang paya bunga'. Terdapat jalan tanah masuk dari Jalan Paya Bunga (sekarang dikenali sebagai Jalan Sultan Zainal Abidin) berhadapan berek polis. Dikiri jalan masuk terdapat dua buah pokok getah tua dan banyak pokok-pokok kelapa.  Dihujung jalan tanah itu pula terdapat bangunan kayu Mahkamah Kuala Terengganu dan jika kita jalan terus kita akan melalui tapak perkuburan lama.

Saya selalu gunakan jalan tanah ini untuk ke sekolah kebangsaan Paya Bunga sebagai jalan pintas. Dihujung padang saya akan belok ke kiri dan disitu terdapat banglo orang cina yang mempunyai anjing.  Bila sampai sahaja di kawasan ini saya akan berasa gementar apatah lagi jika ternampak anjing-anjing itu di kawasan berhampiran.  Selalu juga saya kena kejar oleh anjing-anjing itu... Tetapi anjing-anjing ini hanya menyalak dan sebenarnya anjing itu jika dibaling dengan kayu akan menengkeng lari.

Pada masa stadium hendak dibina, semua pokok-pokok yang ada di persekitaran kawasan padang itu ditebang.  Ramailah makcik-makcik datang mengambil buah kelapa muda, membuat penyapu lidi, dan budak-budak pula mengambil daun kelapa untuk membuat trompet.
Untuk membuat stadium ini, tanah ditambun, dan tempat-tempat duduk dibina melalui simen yang diturap atas tanah tambun ini macam anak-anak tangga.  Untuk menegakkan tiang lampu, tanah tempat terbinanya tiang itu digali untuk dibuat dasar konkrit tiang lampu.  Saya pernah melihat ketika penggalian dilakukan pekerja telah terjumpa dua jong (keranda) dipercayai kubur cina.  Ketika itu saya baru balik dari sekolah kebangsaan paya bunga selepas aktiviti pengakap. Ketika melalui tapak pembinaan stadium itu saya melihat ramai orang mengerumuni penemuan rangka manusia.

Monday 23 January 2012

Lebuh raya



Pada hari Jumaat 19 Januari ketika memandu melalui lebuh raya utara selatan hala ke utara, kesesakan berlaku lebih 15 km ke jalan susur keluar Sungkai.  Kemalangan berlaku di atas jambatan dan kemungkinan terdapat kenderaan yang terlibat dan juga mungkin ada yang tercedera kerana kemalangan.  Isunya bukanlah kemalangan, namun isunya adalah sikap pengguna yang mengambil jalan mudah menggunakan lorong kecemasan sebagai cara mudah untuk memotong barisan.

Sikap pengguna menggunakan laluan berkenaan amat dikesali kerana ia amat mengganggu ambulan, jentera kren pebarik kenderaan, polis dan sebagainya ke tempat kemalangan.  Adalah diharap sangat-sangat pihak polis terus bertindak ke atas pemandu sebegini agar ia menjadi pengajaran untuk tidak mengambil kesempatan memotong barisan.



Friday 6 January 2012

Ranking Universiti antara negara ASEAN

Negara ASEAN, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja.

Ranking Universiti:

Ranking
Nama Universiti
Negara
Markah
28
National University of Singapore
Singapore
84.07
58
Nanyang  Technological  University
Singapore
72.51
167
Universiti Malaya
Malaysia
50.90
171
Chulalongkorn University
Thailand
50.72
217
University of Indonesia
Indonesia
45.14
229
Mahidol University
Thailand
43.08
279
Universiti Kebangsaan Malaysia
Malaysia
39.24
332
University of Philippines
Philippines
34.36
342
Universitas Gadjah Mada
Indonesia
33.84
360
Ateneo de Manila University
Philippines
31.98
401-450
Universiti Teknologi Malaysia
Malaysia

451-500
Bandung Institute of Technology
Indonesia

451-500
International Islamic University of Malaysia
Malaysia

501-550
Chiang Mai University
Thailand

501-550
Thammasat University
Thailand

551-600
De La Salle University
Philippines

551-600
Airlangga University
Indonesia

601+
Bogor Agricultural University
Indonesia


Diponegoro University
Indonesia


Kasetsart University
Thailand


Khon Kaen University
Thailand


King Mongkut’s University of  Technology Thonburi
Thailand


Prince of Songkla University
Thailand


Sepuluh Nopember Institute of Technology
Indonesia


Universiti Teknologi Mara
Malaysia


University Brawjaya
Indonesia


University of Santo Tomas
Philippines


Dalam data di atas terdapat banyak universiti yang terkemuka di negara Malaysia yang tidak disenaraikan. Universiti seperti UPM, UniMap, UMP, UMS, UniMas dan pelbagai universiti IPTA dan IPTS tiada dalam senarai berkenaan.  Bukannya universiti itu tidak baik prestasinya namun tidak disenaraikan.  Data berkenaan diragui terutamanya sebagai contoh tanpa hendak merendahkan. Penulis pernah melihat sendiri Universiti di Indonesia yang tersenarai agak kurang fasiliti berbanding dengan yang di Malaysia tetapi tersenarai dalam data ranking berkenaan.