Wednesday 5 August 2015

SEKOLAH KEBANGSAAN PUSAT BUKIT BESAR

Ikutkan sejarah, Sekolah Pusat Bukit Besar dirasmikan pada tahun 1960.  Sekolah ini pada tahun itu hinggalah ke tahun 1965 hanya mengambil pelajar yang hendak masuk ke darjah empat hingga ke darjah enam.
Tetapi pada pertengahan tahun 1965 terdapat kemasukan pelajar darjah 1.
Sekolah baru ini amat cemerlang apabila ramai pelajarnya dipilih memasuki ke sekolah berasrama penuh apabila tamat darjah enam
Pakaian seragam pelajar lelaki adalah berbaju lengan pendek putih dan berseluar pendek putih bagi pelajar lelaki.
Pelajar perempuan pula berbaju kurung putih dengan kain berwarna hijau gelap.
Sekolah ini amat unik kerana terdapat satu bulatan jalanraya (round about) untuk bas-bas yang mengangkut pelajar dari bandar Kuala Terengganu ke sekolah dan balik.
Cukup seronok naik bas yang dikenali bas kompani berwarna merah kuning.
Saya masuk sekolah ini dalam darjah 4.... tak ingat nama kelasnya tetapi kelas yang hujung sekali berhampiran kantin.
Guru-gurunya elegan dan muda dan agak bersemangat mengajar kami. Saya masih ingat seorang guru berbangsa cina mengajar bahasa inggeris. Beliau berbakat melukis dan ada diantara pelajar dipilih untuk dijadikan model lukisannya.
Di sekolah ini terdapat kelab muzik dan saya telah memohon dan diterima untuk masuk kelab presteg ini.  Pelajarnya diajar meniup rekoder (suatu alat yang mahal) dan rekoder itu diberi pinjam bagi kegunaan pelajar.
Semasa hari ibu bapa saya yang rendah meniup muzik rekoder dibaris depan.
Yang istimewanya terapat pelajar perempuan dan salah seorang pelajar itu adalah anak seorang Menteri Besar (Dato' Mohamad Fikri) yang bernama Zaharah.
Zaharah ini baik budaknya dan tidak sombong walaupun beliau dihantar dan diambil dengan kereta oleh seorang drebar khas. Saya berpeluang sekali diajak (ia ke diajak), menaiki keretanya balik kerumah (ketika itu rumah saya di berek polis Kuala Terengganu) manakala beliau pula di rumah rasmi Menteri Besar di Jalan Paya Bunga.
Pada waktu itu terdapat dua blok bagunan setingkat yang tersusun memanjang hala ke belakang. Di antara blok bangunan ini ditengah-tengah terdapat bangunan tandas.
Keadaan tandasnya jauh lebih bersih daripada keadaan tandas Sekolah lama saya di Sekolah Rendah Paya Bunga.
Pada zaman itu kebanyakan sekolah telah dinamakan sekolah kebangsaan kerana ianya tidak hanya khusus kepada pelajar kaum Melayu. Namun panggilan sekolah saya kekal lagi dipanggil sebagai sekolah Pusat Bukit Besar.
Ketika perlawanan sukan antara sekolah-sekolah Kuala Terengganu, sekolah Pusat Bukit Besar selalunya menjadi johan dan dicemburu oleh sekolah-sekolah lain hingga tergamak pelajar sekolah lain mengejek sekolah kami sebagai sekolah pusat burit besar.
Saya hanya sempat bersekolah di sini dalam tahun 1965 kerana awal tahun 1966 saya mengikuti keluarga saya berpindah ke Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment