Thursday 14 November 2013

TAPAK PERMAINAN KANAK-KANAK DI BEREK POLIS KUALA TERENGGANU 1960an

Saya bukanlah anak Terengganu dan saya sememangnya tidak mahir 'kecek dialek Terengganu.  Saya ketika tahun awal 1960an menetap dan membesar sebagai kanak-kanak yang sentiasa 'curious' tentang macam-macam hal disekeliling.  Pada waktu itu tidak ada tv dan aktiviti kanak-kanak yang begitu 'curious' adalah 'adventure' seperti 'merayap' berjalan-jalan untuk meneroka kawasan baharu, memanjat pohon-pohon seperti pokok jambu bongkok, jambu air atas jirat cina, pokok kelapa dan sebagainya atau pun mempunyai hobi seperti menangkap dan membela ikan laga (saya ingat budak-budak memanggil nama ikan sekilar), mengumpul kotak-kotak rokok terpakai, mengumpul gelang getah (rubber bands), mengumpul sampul gula-gula seperti gula 'hacks' dan ada kalanya main berlaga buah getah.  Di waktu sebelah petang ketika hari sudah tidak panas terik, budak-budak di berek polis Kuala Terengganu akan tertumpu di tempat permainan berhampiran padang.  Pelbagai alat permainan ada di tempat itu (ada dua gelungsur yang berbeza ketinggiannya, buaian, jongkang-jongkek, alat mengayun (satu tiang besi di atas terdapat kepingan besi yang disambung dengan beberapa rantai, dihujung rantai ada rod besi empat segi tempat budak-budak bergayut.  8 orang budak boleh bergayut dan berpusing).
Di belakang tapak permainan ini ada satu bangunan konkrit berbentuk 'U' terbalik tanpa tingkap.  Atas atap adalah corong udara kecil.  Didepan bangunan terdapat pintu besi yang berkunci.  Tidak ada kanak-kanak yang berani mendekati bangunan itu disebabkan terdapat papan tanda warna merah bertulis 'Do not Enter' dan ada gambar sesaorang menembak dengan senapang dan terdapat gambar mangsanya tengah nak jatuh dengan kedua-dua tangan mengadah ke arah atas.
Kemungkinan bangunan itu adalah stor bahan letupan kerana binaannya begitu kukuh dan mungkin sudah tidak digunakan lagi.  Terdapat juga sebuah tugu konkrit lama berhampiran dengan bangunan itu.

Di situ terdapat sebuah padang di mana terdapat jalan tanah mengelilingi padang itu.  Antara tempat permainan dengan padang terdapat dua pokok besar dan di bawah pokok besar ini terdapat rumput-rumput hijau yang tebal dan sangat selesa jika kita duduk di atasnya kerana ianya agak redup dan sejuk.

Saya mengingati tempat ini kerana dalam tahun 1962 (saya berumur 7 tahun), saya dan beberapa rakan sebaya 'ternampak' hantu di situ.
Saya akan ceritakan kisah 'hantu/jin' ini pada waktu lain. Zaman kanak-kanak inilah yang amat saya ingat bila sudah tua sebegini kerana zaman itu amat jauh berbeza berbanding dengan zaman kanak-kanak kini.  Zaman saya sebagai kanak-kanak perlukan kawan, tanpa kawan tak adalah 'adventure', hobi dan lain-lain. Saya hanya boleh cerita kerana ketika itu tidak ada kamera, dan hobi berkamera adalah hobi untuk orang-orang kaya sahaja....

No comments:

Post a Comment