Tuesday 5 November 2013

KEADAAN BANJIR 1960an KUALA TERENGGANU

Pada tahun 1960an dihujung tahun selalunya hujan monsoon dan sering berlaku banjir yang memakan beberapa hari. Sayangnya pada waktu itu keluarga saya tiada kamera untuk dijadikan gambar kenangan. Hobi mengambil gambar hanya dinikmati oleh orang-orang berada walaupun ada juga kakitangan kerajaan memiliki kamera dan juga alat mencetak gambar di rumah. Saya akan cuba menceritakan sedikit sebanyak pengalaman ketika banjir pada ketika itu. Tahun 1965 saya bersekolah di Sekolah Pusat Bukit Besar. Dalam bulan Disember (waktu akhir persekolahan) saya menunggu bas di jalan Wireless (Jalab Sultan Omar) berhampiran bengkel kenderaan Polis Kontigen Terengganu. Bas kompani datang mengambil beberapa orang pelajar (ketika itu pelajar lelaki memakai baju putih berlengan pendek dan berseluar pendek putih, berkasut kain putih tanpa memakai stokin, pelajar perempuan pula berbaju kurung putih dengan kain bewarna biru gelap) dan terus memabawa ke sekolah pusat bukit besar. Sekolah ini terdapat bulatan (round about) di depan dalam kawasan sekolah. Semasa waktu rehat saya dan beberapa rakan kelas berjalan ke tepi pagar dan melihat kawasan sawah telah dipenuhi air banjir. Waktu itu hujan renyai-renyai tanpa henti. Bagi kanak-kanak seperti kami di Kuala Terengganu ketika itu, hujan renyai-renyai adalah perkara kecil dan tidak perlu menggunakan payung atau memakai baju hujan. Malahan ketika itu mempunyai payung dan baju hujan adalah dinikmati oleh anak-anak orang kaya sahaja. Selepas rehat kami ke kelas untuk diajar oleh guru-guru kami yang rata-ratanya muda belia. Selepas tamat persekolahan saya dan beberapa pelajar yang menaiki bas merasa resah kerana bas sekolah tidak datang untuk mengambil kami pulang. Akhirnya bila terlalu lama menunggu kami pun berpakat berjalan kaki sahaja ke rumah. Sudah tentu kami akan berjalan melalui jalan-jalan raya yang telah pun banjir. Dari jalan pasir panjang kami belok ke kiri ke jalan Kota Bharu (Jalan Sultan Mohamad). Menuruni bukit air sudah ke paras pinggang ( saya ketika itu tinggi 4.5 kaki). Tiada kenderaan melalui jalan itu kecuali lori-lori JKR mengangkat barang-barang rumah yang terjejas. Apabila melihat kami beramai-ramai meredah air bah di jalan Hiliran, ada lori-lori JKR berhenti dan menyuruh kami panjat ke atas lori di bawa hingga ke tempat yang tidak lagi banjir di Jalan Air Jernih (kawasan berbukit). Dari situ kami jalan ke arah bandar untuk ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan itu di kiri jalan terdapat beberapa rumah kayu yang hanyut kesan arus deras banjir. Pada waktu itu kebanyakan rumah penduduk adalah ditempat yang agak berpaya dan Kuala Terengganu ketika itu banyak kawasan berpaya. Kami budak budak sekolah tidak merasa penat malah seronok meredah banjir walaupun pakaian dan peralatan sekolah semuanya basah. Berdecit-decit kami berjalan kerana dalam kasut (saya memakai kasut kain putih bercap 'arrow', harganya lebih murah berbanding kasut Bata). Hujung kasut dah ternganga kerana koyak akibat terkena air. Saya tinggal diberek polis dan di kawasan padang Polis terdapat berpuluh-puluh helikopter tentera yang digunakan untuk menyelamat penduduk yang terkena banjir. Bunyik deruman enjin helikopter berwarna hijau gelap disertai dengan angin putaran kipas diperhati dengan penuh takjub oleh penduduk yang mengerumuni padang itu. Ketika itu helikopter yang digunakan adalah kepunyaan tentera British manakala tentera Tanah Melayu hanya ada dua buah sahaja helikopter. Kami budak-budak Melayu amat teruja melihat pemuda Melayu yang memandu salah satu helikopter tersebut... Di rumah ketika waktu malam akan terdengar dentuman ombak dengan disertai angin monsoon yang bertiup kencang. Apabila waktu siang kami budak-budak lelaki akan meredah air diatas padang berhampiran helikopter. Ada juga budak-budak yang membuat bot dari kulit kelapa. Diletaknya layar yang diperbuat daripada kertas yang diperkukuh oleh lidi kelapa dan dicucuk ke atas sabut kelapa. Kemudi bot diperbuat daripada daun kelapa. Sungguh seronok melihat bot (atau kapal) bot itu ditiup angin bergerak atas air banjir.

No comments:

Post a Comment