Wednesday 28 December 2011

Sekolah Kebangsaan Paya Bunga, Kuala Terengganu


Gambar di atas (didapati dari blog sekolah lama) menunjukkan pelajar mungkin darjah tiga menguji kemahiran berjalan di atas tiang.  Saya agak gambar ini diambil pada tahun 1970an, berdasarkan jenis kereta di sebelah kiri bangunan dua tingkat.
Saya pernah bersekolah di sekolah ini bermula tahun 1962 hingga tahun 1964.  Seingat saya ketika itu rumah Guru Besar adalah berada di sebelah kiri bangunan kayu dua tingkat (dalam gambar).
Rata-rata guru datang ke sekolah naik basikal atau menaiki beca.  Tidak ramai berkereta kecuali guru besar.  Padang sekolah (amat kecil luasnya, setakat senaman bolehlah) ketika saya belajar baru ditambak dengan tanah bukit.  Keadaannya agak berbatu dan boleh mendatangakan kecederaan jika jatuh.  Di atas padang ini ditanam rumput dan di pagar dengan tanda pagar kayu agar tiada orang memijak rumput-rumput yang baru ditanam.  Oleh itu tiada aktiviti di depan bangunan dua tingkat semasa zaman saya bersekolah di situ.
Waktu itu semua pelajar adalah pelajar lelaki, manakala murid perempuan pula belajar di sebuah sekolah lain iaitu di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, dekat dengan mahkamah. Waktu itu mahkamah adalah terdiri daripada beberapa bangunan kayu, ketika berlangsung perbicaraan kita boleh mendengar hujah-hujah peguam dari luar bangunan.  Bangunan Mahkamah tidak lama selepas itu.... 1964  terbakar.... apinya boleh dilihat jauh dan ramai orang melihat kesan kebakaran bangunan mahkamah.
Saya pernah belajar dibangunan dua tingkat ini ketika di dalam darjah 2A ditingkat atas dan darjah 3A di tingkat bawah.  Ditingkat bawah hanya ada satu kelas sahaja iaitu darjah 3 A berkongsi dengan darjah 5A.  Di tingkat bawah terdapat pejabat sekolah dan ruang untuk rekreasi, biasanya tempat murid-murid bermain ping pong.
Masih saya ingat kelas di tingkat atas dipisah-pisahkan oleh dinding boleh ubah.... Oleh itu kadang-kadang kita boleh melihat dan mendengar kelas sebelah belajar.  Guru-guru semasa itu kebanyakannya bengis-bengis dan mereka selalu mendera pelajar yang tidak mematuhi arahan seperti tidak membuat kerja rumah atau gagal dalam peperiksaan.  Salah satu deraan yang saya ingat adalah dua pelajar didenda entah apa kesalahan mereka, guru telah menyuruh dua pelajar itu menyepit satu kayu pembaris T yang panjang antara perut masing-masing.  Di atas kayu pembaris itu diletakkan beg pelajar.  Pelajar itu terpaksa menahan beban beg tidak jatuh.  Kayu pembaris T yang bersaiz besar adalah digunakan untuk papan tulis.  Deraan seperti merotan, memukul kepala, menempeleng muka, mencubit dan kadang kala tendang terajang adalah lumrah dan diterima secara positif oleh pelajar.
Ramai diantara murid-murid terdiri dari anak nelayan yang miskin.  Rambut mereka disikat dan diminyakkan dengan minyak kelapa.   Buku tulis amatlah sikit bilangannya.  Selalunya buku tulis itu digunakan bagi berbagai mata pelajaran. 

5 comments:

  1. Well done cikgu..moga blog ini memberi manfaat pada pembaca dan tulisan cikgu jd bahan bernilai ..sesungguhnya pengalaman harus dikongsi untuk dikenang selagi hayat dikandung badan...boleh ke blog cm jugak di mycikgumas.blogspot.com

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih CM, blog CM lagi hebat dan amat ceria.... saya suka baca blog puan.

      Delete
  2. Terima kasih. Kenangan yg paling mengusik jiwa. Saya dilahirkan dalam tahun 1952 dan merupakan salah seorang pelajar di sekolah ini. Dari darjah 1 saya belajar di sekolah ini hingga darjah 5 telah tukar bersekolah di Kuala Berang kerana mengikut ayah yg tukar tempat bekerja. Belum habis darjah 5 kembali semula belajar di sekolah hingga darjah 6. Saya sudah lupa alam persekolahan saya ketika darjah 1 hingga 4. Ketika darjah 5 saya memang belajar di bangunan kayu 2 tinggat dibahagian atas. Sebelum itu ada belajar kelas batu satu tingkat kalau tak silpa bersebelah dengan kubur. Ketika itu hanya terdapat 2 tingkat bangunan kayu dan satu tingkakt kelas bangunan batu. Saya sudah lupa siapakah nama guru besar ketika itu. Hanya saya ingat pd seorang ustaz yg ada sedikit kecacatan itu sebelah tangannya agak lemah atau sedikit lembik. Maaf kerana saya tidak menghina tapi sebagai satu pengenalan pada diri saya. Ketika saya belajar rasanya kurang menggunakan buku tulis. sebaliknya menggunakan apa yang dipanggil "papan batu dan kalam batu". Cukup banyak kenangan saya kepada sekolah ini. Apa yg saya ingat selepas tamat belajar di sekolah ini, saya ada mengambil peperiksaan utk ke sekolah menengah bertempat di sek pusat jalan pasir panjang. Selepas itu masuk sekolah menengah dalam tingkatan 1A2 yg ditumpangkan di TBSS (Tengku Badariah Secondary School) dimana ketika ini Sekolah Menengah Kampung Nibung (Panja Alam) masih dalam pembenaan. Sebaik sek men kampung nibung siap (tahun sudah lupa), saya adalah merupakan murid pertama dan ketika itu sesi sekolah pagi sahaja yg ada dimana sesi sekolah petang belum ada. sungguh banyak kenangan.

    ReplyDelete
  3. Says pernah belajar Di skolah INI. 1967-1969 (darjah 1-3)

    ReplyDelete