Monday 26 December 2011

Peristiwa Darjah 1

Ketika darjah satu masing-masing takut dengan cikgu.  Terdapat satu peristiwa rakan kelas terberak dalam kelas. Bau busuk menusuk hidung.  Cikgu minta ketua darjah bawa pelajar itu dan basuh di paip air dekat kantin.  Pelajar lain diminta ambil baldi merah untuk melawan kebakaran diisi dengan pasir dan ditambunkan atas najis di bawah meja itu. Najis itu ada juga terlekat di serata tempat.  Aduh... siksanya.
Kantin sekolah, mungkin dibina pada tahun
1967. Sebelum ini kantin amat kecil dengan jualan nasi dagang, air dan kacang putih.
  

Penulis juga pernah terasa nak membuang, tapi bila pergi ke tandas di sebelah bangunan dua tingkat, tak jadi nak membuang.  Tandas itu merupakan bangunan yang asasnya batu bertangga, naik tangga kena buka pintu kayu, dan kena mencangkung dan najis akan jatuh ke dalam lubang di mana terdapat satu baldi besar untuk mengumpul najis.  Bila melihat keadaan tandas, tak jadi nak membuang.... namun bila tak tahan penulis balik 'tembor' (keluar tanpa minta kebenaran guru), berlari ke rumah entah berapa jauhnya ke perumahan polis jalan paya bunga.  Lepas membuang, berlari balik ke kelas.  Nasib baik cikgu tidak perasan, dan saya belajar seperti biasa.
Ayah penulis bergaji kecil, memberi hanya 10 sen sebagai duit saku. Kalau beli nasi dagang berharga 10 sen sepinggan habislah duit.... minumlah air paip untuk hilangkan dahaga.
Pernah bila balik sekolah ada kawan ajak naik 'teksi' di depan pintu pagar sekolah.  Tambang teksi ketika itu ke Balai Polis Paya Bunga 15 sen.  Penulis tidak mampu... oleh itu jalan kakilah.
Waktu rehat ramai kawan-kawan berlari-lari ke arah kantin.  Mula-mula saya turut ikut sama berlari ke arah kantin.  Di kantin kawan-kawan berebut-rebut membeli makanan seperti nasi dagang, goreng pisang dan macam-macam juadah termasuk kacang putih.... Namun akhirnya saya tidak lagi mengikut rakan-rakan berlari ke kantin kerana saya tak ada duit untuk belanja/ pitih tak dok.
Untuk mengelak kawan-kawan mencari saya, bila rehat saya akan keluar lambat dari kelas... saya biarkan mereka keluar dahulu.... selepas seketika barulah saya keluar berjalan-jalan jauh dari rakan-rakan.  Saya akan duduk memerhati kubur-kubur lama berhampiran sekolah di kaki lima bagunan setingkat kelas.  Kadang-kadang ada kawan yang datang ke tempat saya berdiri/duduk dan bagusnya ada juga yang menghulur sedikit makanan untuk saya rasa...Namun tidak selalu saya dapat rezeki itu. Jika tak ada rakan yang hulur makanan maka sangatlah lapar saya dan amat tidak bermaya rasanya ketika balik dari sekolah ke rumah dengan berjalan kaki.
Untuk elakkan rasa sakit perut kerana lapar, saya banyak minum air kosong, air daripada paip yang ada di sekolah.  Saya akan minum sepuas-puasnya.  Aktiviti minum air paip ini saya lakukan sehinggalah saya bersekolah menengah di tingkatan satu.

No comments:

Post a Comment