Monday 26 December 2011

SEDIKIT CERITA DI SEKOLAH KEBANGSAAN PAYA BUNGA

Sekolah Kebangsaan Paya Bunga merupakan sekolah lama.  Tahun 1962, semua murid terdiri daripada pelajar lelaki.  Pakaian seragamnya ialah baju kemeja putih dengan seluar berwarna beach, (kuning koko, kata budak sekolah lain, 'wakpolah mu pake seluar guni!').  Bagi pelajar darjah satu, empat, lima dan enam  berada pada sesi pagi, manakala darjah dua dan tiga belajar pada sesi petang.
Kelas pelajar darjah satu adalah pada blok bangunan batu setinggkat.  Bangunan batu itu nampaknya baru sahaja siap dibina.  Bagi pelajar lain pula belajar di Bangunan kayu dua tingkat.  Bangunan tingkat atas berlantai kayu, dan kelas dipisahkan oleh diding kayu yang boleh dialih-alih.  Apabila pelajar bergerak maka bunyilah agak bising.  Oleh kerana pejabat dan Pejabat Guru Besar berada ditingkat bawah, murid-murid dilarang berlari, menggerakkan kerusi meja atau melompat-lompat kerana ia menyebabkan bunyi terlalu bising dan boleh menyebabkan Guru Besar dan pekerja di pejabat pening kepala, boleh juga menjadi 'gila'.  Oleh itu Guru Besar selalu meronda di tingkat atas dengan membawa rotan dan akan merotan sesuka hati mana-mana murid yang disyakki membuat bising.  Namun Guru Besar yang garang ini sebenarnya seorang guru yang baik.  Beliau ada anak yang belajar bersama-sama saya dalam kelas.  Kadang-kadang dapat merasa naik kereta Guru Besar Morris Minor ke bandar.  Rumah Guru Besar Bersebelahan dengan bangunan 2 tingkat itu.  Namun kedudukan rumah guru ini agak tak berapa selesa, kerana agak hampir dengan tandas budak sekolah.... Berbau najis manusia.  Bagi saya, bau najis manusia di Kuala Terengganu ketika itu amat biasa, kerana penduduknya membuang air besar di semak samun (Dalam rok).   Ketika itu amat sedikit sahaja tandas sempurna yang dibina di Terengganu.  Saya juga sering terserempak najis manusia di tepi sungai dan juga di tepi pantai.
Di sebelah kiri jika mengadap dari Jalan depan sekolah, Jalan Tok Lam, terdapat tanah perkuburan lama.  Disitu terdapat satu pokok yang amat besar.... murid-murid ada yang kata disitu hantu pelesit main buai dan yang terjuntai dari dahan pokok itu adalah rambut langsuir.  Agak menakutkan bagi kami.
Kubur lama disitu dan dikebanyakan tempat kebanyakannya hanya ditanda dengan batu sungai, atau kayu.  Tanda seperti nombor atau tulisan nama tidak ada.  Malahannya terdapat juga penduduk di Kuala Terengganu menanam mayat di tepi rumah mereka.  Kawasan kubur itu tersebar hingga ke kampung kolam dan juga sampai berhampiran dengan sekolah rendah perempuan Tengku Ampuan Mariam.
Saya pernah melalui kubur-kubur lama ketika pergi ke sekolah atau waktu balik ke rumah (masa darjah 2A).
Kawasan sekolah dipagar dengan pagar berduri.  Saya selalunya menggunakan pintu sebelah belakang kerana jalan disitu tidak berapa panas (kerana agak banyak pokok-pokok besar) berbanding menggunakan Jalan Tok Lam dan Jalan Paya Bunga (sekarang dinamakan Jalan Sultan Ismail).
Sebelahan kantin sekolah terdapat gelanggang terbuka badminton yang juga boleh digunakan bagi gelanggang sepak raga (sekarang dikenali sebagai sepak takraw).  Waktu tengahari bila murid-murid darjah dua dan tiga datang mereka kebanyakannya bermain-main di atas gelanggang itu.
Permainan seperti berlawan guli, berlaga buah getah, berlawan lastik, dimana getah pengikat berwarna warni diadu dengan meletakkannya diatas rentangan getah....dan kita perlu melastik dengan getah ikat kearahnya supaya susunan getah pengikat berwarna warni terjatuh.  Mana-mana yang jatuh menjadi kepunyaan pelastik.
Gambar lama dari SKPaya Bunga. Perhatikan bangunan dua
tingkat.  Di tingkat bawah ada kelas Darjah 3/5 dan pejabat.
Ada juga bermain kad bola.  Kad bola empat segi dilipat menjadi bentuk V, disusun secara terbalik.  Pada dinding kad dinomborkan.  Bola adalah gumpalan kertas ataupun daripada kacang putih.  Pemain perlu menekan dengan pantas kad dan bola yang hampir dengan kad itu akan melayang diarahkan ke tempat tanda gol.  Saya sering membuat kad-kad bola dirumah.

No comments:

Post a Comment