Monday 30 January 2012

1963 PEMBINAAN STADIUM TERENGGANU

Stadium Sultan Ismail dahulunya dinamakan Stadium Kuala Terengganu.  Tapak stadium itu adalah sebidang padang yang dikenali sebagai 'padang paya bunga'. Terdapat jalan tanah masuk dari Jalan Paya Bunga (sekarang dikenali sebagai Jalan Sultan Zainal Abidin) berhadapan berek polis. Dikiri jalan masuk terdapat dua buah pokok getah tua dan banyak pokok-pokok kelapa.  Dihujung jalan tanah itu pula terdapat bangunan kayu Mahkamah Kuala Terengganu dan jika kita jalan terus kita akan melalui tapak perkuburan lama.

Saya selalu gunakan jalan tanah ini untuk ke sekolah kebangsaan Paya Bunga sebagai jalan pintas. Dihujung padang saya akan belok ke kiri dan disitu terdapat banglo orang cina yang mempunyai anjing.  Bila sampai sahaja di kawasan ini saya akan berasa gementar apatah lagi jika ternampak anjing-anjing itu di kawasan berhampiran.  Selalu juga saya kena kejar oleh anjing-anjing itu... Tetapi anjing-anjing ini hanya menyalak dan sebenarnya anjing itu jika dibaling dengan kayu akan menengkeng lari.

Pada masa stadium hendak dibina, semua pokok-pokok yang ada di persekitaran kawasan padang itu ditebang.  Ramailah makcik-makcik datang mengambil buah kelapa muda, membuat penyapu lidi, dan budak-budak pula mengambil daun kelapa untuk membuat trompet.
Untuk membuat stadium ini, tanah ditambun, dan tempat-tempat duduk dibina melalui simen yang diturap atas tanah tambun ini macam anak-anak tangga.  Untuk menegakkan tiang lampu, tanah tempat terbinanya tiang itu digali untuk dibuat dasar konkrit tiang lampu.  Saya pernah melihat ketika penggalian dilakukan pekerja telah terjumpa dua jong (keranda) dipercayai kubur cina.  Ketika itu saya baru balik dari sekolah kebangsaan paya bunga selepas aktiviti pengakap. Ketika melalui tapak pembinaan stadium itu saya melihat ramai orang mengerumuni penemuan rangka manusia.

1 comment: