Wednesday, 5 August 2015

SEKOLAH KEBANGSAAN PUSAT BUKIT BESAR

Ikutkan sejarah, Sekolah Pusat Bukit Besar dirasmikan pada tahun 1960.  Sekolah ini pada tahun itu hinggalah ke tahun 1965 hanya mengambil pelajar yang hendak masuk ke darjah empat hingga ke darjah enam.
Tetapi pada pertengahan tahun 1965 terdapat kemasukan pelajar darjah 1.
Sekolah baru ini amat cemerlang apabila ramai pelajarnya dipilih memasuki ke sekolah berasrama penuh apabila tamat darjah enam
Pakaian seragam pelajar lelaki adalah berbaju lengan pendek putih dan berseluar pendek putih bagi pelajar lelaki.
Pelajar perempuan pula berbaju kurung putih dengan kain berwarna hijau gelap.
Sekolah ini amat unik kerana terdapat satu bulatan jalanraya (round about) untuk bas-bas yang mengangkut pelajar dari bandar Kuala Terengganu ke sekolah dan balik.
Cukup seronok naik bas yang dikenali bas kompani berwarna merah kuning.
Saya masuk sekolah ini dalam darjah 4.... tak ingat nama kelasnya tetapi kelas yang hujung sekali berhampiran kantin.
Guru-gurunya elegan dan muda dan agak bersemangat mengajar kami. Saya masih ingat seorang guru berbangsa cina mengajar bahasa inggeris. Beliau berbakat melukis dan ada diantara pelajar dipilih untuk dijadikan model lukisannya.
Di sekolah ini terdapat kelab muzik dan saya telah memohon dan diterima untuk masuk kelab presteg ini.  Pelajarnya diajar meniup rekoder (suatu alat yang mahal) dan rekoder itu diberi pinjam bagi kegunaan pelajar.
Semasa hari ibu bapa saya yang rendah meniup muzik rekoder dibaris depan.
Yang istimewanya terapat pelajar perempuan dan salah seorang pelajar itu adalah anak seorang Menteri Besar (Dato' Mohamad Fikri) yang bernama Zaharah.
Zaharah ini baik budaknya dan tidak sombong walaupun beliau dihantar dan diambil dengan kereta oleh seorang drebar khas. Saya berpeluang sekali diajak (ia ke diajak), menaiki keretanya balik kerumah (ketika itu rumah saya di berek polis Kuala Terengganu) manakala beliau pula di rumah rasmi Menteri Besar di Jalan Paya Bunga.
Pada waktu itu terdapat dua blok bagunan setingkat yang tersusun memanjang hala ke belakang. Di antara blok bangunan ini ditengah-tengah terdapat bangunan tandas.
Keadaan tandasnya jauh lebih bersih daripada keadaan tandas Sekolah lama saya di Sekolah Rendah Paya Bunga.
Pada zaman itu kebanyakan sekolah telah dinamakan sekolah kebangsaan kerana ianya tidak hanya khusus kepada pelajar kaum Melayu. Namun panggilan sekolah saya kekal lagi dipanggil sebagai sekolah Pusat Bukit Besar.
Ketika perlawanan sukan antara sekolah-sekolah Kuala Terengganu, sekolah Pusat Bukit Besar selalunya menjadi johan dan dicemburu oleh sekolah-sekolah lain hingga tergamak pelajar sekolah lain mengejek sekolah kami sebagai sekolah pusat burit besar.
Saya hanya sempat bersekolah di sini dalam tahun 1965 kerana awal tahun 1966 saya mengikuti keluarga saya berpindah ke Kuala Lumpur.

Perjalanan dari K Terengganu KL 1960an

Pada tahun 1964, tiada perkhidmatan bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur secara terus. Untuk ke Kuala Lumpur terdapat dua cara, 1. Menaiki bas ekspress K Trengganu ke Kota Bharu, kemudian mungkin selepas tidur dihotel tepi Sungai Kelantan bolehlah naik feri keretapi menyeberang Sungai Kelantan ke stesyen keretapi Palekbang. Cara yang ke 2, adalah menaiki bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kemaman. Bas ekspres itu berwarna merah hati. Di Kemaman pula menaiki bas henti-henti ke bandar Kuantan. Bas berwarna aluminium akan sampai ke Kuantan di hentian bas tepi Sungai Kuantan. Stesen bas Kuala Terengganu sekarang telah menjadi stesyen teksi. Dari bandar kuantan (selepas tidur semalaman di hotel) bas ekspres tidak silap saya berwarna biru. Bas bergerak pagi dan sampai di stesen bas jalan Melaka pada waktu petang. Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, terdapat 9 buah sungai yang perlu di tempuhi dengan menggunakan perkhidmatan feri. Sungai-sungai berkenaan adalah seperti berikut: 1. Kuala Ibai 2. Sungai di Marang 3. Kuala Dungun (melalui Tanjung Jara) 4. Paka 5. Kemasik 6. Sungai Chukai 7. Sungai Kemaman 8. Sungai Kuantan 9. Sungai Temerloh Ada Feri yang digerakkan oleh bantuan bot, kadang-kadang dua buah bot digunakan bagi sungai-sungai yang lebar seperti Sungai Pahang di Temerloh, di Paka dan di Kuala Dungun. Lain-lain tempat agaknya feri itu digerakkan dengan menggunakan 2 tali kabel yang diikat pada feri dan di kedua-dua belah tebing sungai. Menaiki feri adalah amat merbahaya terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika arus sungai amat deras. Bilangan kenderaan yang boleh diisi atas feri amat terhad. Pernah saya melihat hanya ada satu sahaja lori pasir atas feri ketika menyeberang sungai. Pernah berlaku feri terbalik atau kenderaan menggelungsur ke dalam sungai. Saya masih ingat apabila bas berhenti di kampung seberang Dungun, deretan kenderaan menanti giliran untuk menyeberang Kuala Sungai Dungun. Dalam bas yang tidak berhawa dingin amat merimaskan apatah lagi bas itu juga membawa barang-barang yang dibeli oleh penumpang bas. Atas bumbung bas terdapat bagasi penumpang dan kadangkala ada basikal. Saya turun dari bas ketika mahu membuang air. Selepas membuang air (sudah tentu tepi parit aje) saya berjalan-jalan menyusuri jalan, Saya masih ingat dan hairan melihat beberapa jirat cina lama ditepi jalan. Mungkin jirat cina itu adalah pelaut yang mati ketika kapal atau jong mereka karam di laut berhampiran. Bila menyeberangi sungai saya dapati bas melalui pasar Dungun, bandarnya agak sesak dengan penjual dan teksi (beca). Bas bergerak perlahan kemudian terpaksa berhenti kerana ada keretapi hendak bergerak di Sura Gate. Saya melihat budak-budak sekolah menaiki keretapi dan bas ketika itu berhenti bersebelahan sekolah menengah Dungun (Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar). Pada tahun 1984 saya bekerja di bandar Dungun. Kesan landasan keretapi masih ada dan tempat di mana keretapi itu berehat masih ada di tempat pasar tani Sura Gate. Malah saya pernah melihat dan melalui gua keretapi di Nibong. Kesan lain adalah di pantai teluk lipat masih terdapat tunggul konkrit pelabuhan yang sudah tentu ianya adalah landasan keretapi. Kesan Pasar lama masih ada, pasar baru yang moden dengan parking kereta yang banyak dibina pada pertengahan tahun 1980an du hujung jalan Penaga dekat Sungai Dungun. I love Dungun. Penduduknya baik-baik, malah ada beberapa orang tempatan yang sangat baik dengan saya di Dungun.

RADIO, LAMPU, KERETA 1960an di Terengganu

Sebagai anak anggota polis di mana ayah bekerja dibahagian mekanik pengangkutan, saya banyak melihat kenderaan yang digunakan oleh polis.  Namun saya lebih seronok melihat kereta-kereta yang bergerak di jalan-jalan raya seperti di Jalan Paya Bunga.
Ada juga beberapa kereta 'continental' yang besar.  Kereta dari negara Jepun belum banyak pada masa itu dan jika ada pun ianya adalah toyota pet (ayah saudara saya bekerja di RIDA Terengganu menggunakannya).
Gambar ini didapati dari suatu blog negara US.Kereta dari negara barat ada banyak seperti, Austin, MG, Morris, Mercedes, Volvo, Renault, Ford, Vauxhall, Hillman dan macam-macam lagi.

Deretan kereta Hillman.

 
 
Terdapat kereta jenama Morris Minor di mana lampu isyaratnya terletak tengah-tengah antara tingkap pemandu dan penumpang.  Apabila membelik lampu isyarat akan keluar dari tempatnya dan melambai-lambai untuk memberi isyarat kereta sedang membelok ('flip out signals').
 

 
Morris Minor

 
Pada tahun 1959 - 1964 di Terengganu belum ada televisyen.  Siaran radio sudah ada tetapi tidaklah seperti sekrang di mana siarannya hanylah untuk beberapa jam sahaja (tidak 24 jam).  Untuk mendengar siaran radio kenalah memilih jenis gelombang radio sama ada dari gelombang pendek atau gelombang sederhana (Sw atau Mw).  Jika memilih gelombang pendek, siaran dari jauh seperti dari stesyen radio Singapura, Thailand atau Indonesia boleh didengar.  Kadang-kadang kita juga bernasib baik boleh mendengar perbualan kelasi kapal kerana mereka juga menggunakan gelombang pendek.  Namun suara atau bunyi yang kita dengar adakalanya juat dan selalunya perlahan-lahan.  Selalu juga ianya terganggu oleh bunyi 'Morse Code' dari kapal laut.., bip, beep, bip bit...... bit beeeeeep..
Untuk mendengar radio Malaya/Malaysia untuk lebih jelas kita pilih siaran dari gelombamg sederhana.  Pada waktu itu belum ada lagi siaran FM.
 
 
Radio Grundig
 
Pada zaman itu tidak banyak rumah-rumah mempunyai radio kerana radio memerlukan kauasa elektrik sedangkan tidak semua rumah dipasang dengan bekalan elektrik.  Ketika itu saya masih kecil dan merasa amat pelik macam mana ada bunyi manusia bercakap atau menyanyi dan dalam fikiran saya 'adakah terdapat makhluk seperti orang yang kecil tinggal dalam kota radio itu.  Pada waktu itu belum ada transistor dan yang ada adalah bulb panas ('thermal valve, macam mentol) yang mengeluarkan cahaya seperti lampu.
 
 
Thermal valve dalam radio lama
 
 
Penggantian thermal valve kepada transistor mengubah kota radio yang besar kepada kotak-kota yang lebih kecil dan boleh dibawa kemana-mana kerana kuasa bateri boleh digunakan.  Perhatikan tiada 'wafer' digunakan dalam mengatur litar dalam radio transistor ketika itu.
 
 
Pengenalan radio transistor mengakibatkan kejutan buadaya pada masa itu.  Ketika itu zaman manusia percayakan hantu jembalang terkejut takut bila mendengar bunyi radio bila sedang menoreh atau berjalan diwaktu malam.  Gambaran kejutan budaya ini ada dirakamkan dalam bentuk filem ketika radio transistor dibawa masuk ke tempat kediaman orang-orang asli.  Macam mana suara boleh keluar dari kotak kecil itu tanpa wayar.  Biasanya radio dahulu perlu bekalan elektrik, jadi pada fikiran orang awam yang tak bersekolah, bunyi radio itu mungkin datang dari wayar elektrik!
 


 
 
 
 
 


Pandangan Pasar Tanjung bandar sepi Kuala Terengganu 1960an



Pada tahun 1960an saya bersekolah di dua buah sekolah rendah, iaitu Sekolah Melayu Lelaki Paya Bunga (Sekolah Kebangsaan Paya Bunga) dan Sekolah Pusat Bukit Besar (Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar).  Saya masih boleh ingat sedikit tentang keunikan bandar dan budaya di Kuala Terengganu.
Bandar Kuala Terengganu tidaklah besar mana, aktiviti utama masyarakat ketika itu adalah di tebing sungai Terengganu.  Air Sungai yang jernih inilah tempat utama aktiviti penduduk di kawasan itu.
Tiadak silap saya terdapat dua pasar di Kuala Terengganu, 1. adalah pasar Tanjung.  Pasar ini tempat jualan ikan, sayur dan lain-lain keperluan rumah dan dibuka pada waktu pagi. Ramailah pengunjung yang datang untuk membeli ikan dan sayur-sayuran.  Yang menjual ikan biasanya peniaga lelaki manakala sayur-sayuran pula kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Hampir semua peniaga ikan dan sayuran terdiri daripada kaum Melayu. 
Terdapat juga gerai-gerai ditepi pasar Tanjung yang menjual beras, tepung, sabun dan lain-lain keperluan barang kering.  Peniaganya pula terdiri daripada kaum India dan Cina. Tempat yang menarik adalah gerai yang menjual barang mainan kanak-kanak. Ketika itu  belum ada barang permainan yang diperbuat daripada plastik.
Model kereta, bas, lori, kapal terbang, kuda dan lain-lain kebanyakannya diperbuat daripada kepingan logam, kayu, batu dan resin? (lupa nama bahannya, contohnya  adalah bola ping pong).
Ikan-ikan biasanya dijual dengan pelbagai cara... yang paling biasa adalah ikan-ikan keci dan sederhana saiznya dijual secara longgok ataupun seekor-sekor.
Selonggok harga 1 Rial (seringgit) manakala seekor ikan kembong biasanya berharga 10 sen.
Saya pernah membeli kepala ikan merah yang besar yang dibelah separuh berharga 1 amah (50 puluh sen).
Sayur pula ada pelbagai seperti kacang panjang, kang kung, terung dan lain-lainnya. Sayur biasanya diikat dengan getah, seikat berharga 10 sen.
Ayam pula dijual secara hidup.  Pembeli terpaksa menyembelih sendiri ayam itu di rumah jika untuk dibuat lauk.  Jualan ayam adalah secara timbang kati (saya tidak tahu berkenaan harganya kerana tiada pengalaman membelinya).
Zaman itu belum ada peti simpan beku, malahan air batu yang dipecah-pecah pun amat sedikit dan bila ianya cair tiada lagi tempat penyimpanan ikan-ikan dan ikan-ikan itu akhirnya terpaksa dibuang atau diberi kepada mereka yang berminat secara murah atau percuma.  Saya pernah melihat ikan-ikan yang tidak dijual dibuang ke dalam longkang mereput begitu sahaja.  Namun saya difahamkan ada banyak yang di ambil atau dibeli untuk membuat keropok, dijemur untuk membuat ikan masin atau diambil untuk dibuat budu.
Di hadapan pasar tanjung terdapat deretan kedai batu yang menjual bahan kering dan ada juga dijadikan kedai kopi. Ada jalan besar, iaitu Jalan Tanjung yang memisahkan pasar dengan deretan kedai itu.
Tidak silap saya tapak pasar itu yang berhadapan simpang tiga dirobohkan dan dijadikan tempat setesen bas ekspres pada pertengahan tahun 1970an.
Pasar Tanjung menjadi kenangan saya kerana hampir setiap pagi saya akan membeli beberapa ekor ikan kembong dan sayur (emak bekalkan saya 1 ringgit) untuk dibeli dan dibawa balik.  Waktu itu 1963 saya dalam darjah 2 bersekolah disebelah petang.
Saya akan berjalan kaki dari Kampung Ladang menembusi Kampung Kolam dan sampailah ke tempat Pasar dengan menyeberang jalanraya.
Waktu itu membeli bahan makanan tidak boleh dibeli dengan banyak, biasanya untuk dimakan untuk hari itu sahaja.  Ini kerana tiadanya peti ais dan peti ais adalah benda mewah yang tidak ramai yang mampu memilikinya.
Pada zaman itu dikedai kopi, harga secawan kopi susu adalah 10 sen manakala tiada susu berharga 5 sen.
Sepinggan kecil nasi dagang berharga antara 10 hingga 30 sen sahaja.  Nasi dagang zaman itu sememangnya enak kerana lauknya banyak dan kuahnya berlemak santan.
Agak jarang saya jumpa nasi lemak berlaukkan sambal telur, ini mungkin kerana telur adalah benda mewah dan tidak banyak dijual.
Di belakang pasar terdapat perkampungan nelayan yang mendiri rumah-rumah kayu beratapkan nipah.  Rakan saya ada menetap dikampung itu dan pernah saya pergi melihatnya dirumah.  Rumah kayu berdindingkan belahan buluh dan kayu papan tidak tersusun dan kita berjalan dicelah-celah rumah diperkampungan itu.  Mungkin bila air laut pasang akan terdapat limpahan air dari sungai ke kawasan itu.  Ini kerana saya dapati kawasan perkampungan itu lembab.
Sekitar kawasan kampung amat kotor dan berbau namun kita kena ingat, zaman itu hampir semua bahan yang digunakan penduduk adalah bahan yang boleh dilupuskan secara biologi (Zaman belum ada bahan pelastik).
Apabila waktu tengahari, keadaan pasar menjadi lengang dan ramai penghuninya ke Masjid Putih (Masjid Zainal Abidin) untuk bersolat atau berihat.
Ketika Pasar Tanjung tutup terdapat satu lagi pasar yang akan dibuka untuk aktiviti jual beli iaitu Pasar Payang.
Pasar Payang terletak ditebing sungai, ketika air pasang banyaklah perahu nelayan berlabuh ditepi pasar ini dan ikan-ikan dipunggahkan kedalam bakul rotan yang besar dan dinaikkan ke dalam pasar.
Saya ingat hanya satu kali sahaja saya pergi ke pasar ini dengan ayah saya kerana waktu petang saya bersekolah dan pasar payang ini agak jauh jaraknya dari tempat saya tinggal (Kampung Ladang).

Thursday, 14 November 2013

Kuala Terengganu tempat saya membesar zaman kanak-kanak

Ayah saya (Tn. Hj. Abd Malek bin Mahmud) bekerja sebagai anggota polis di bahagian pengangkutan (transport department). Arwah dahulu bersekolah di 'trade school' Jalan Kolam Air berhampiran Maxwell Sschool di Kuala Lumpur. Sekolah tersebut telah dipindahkan ke Cheras dan dinamakan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Manakala tapak asal sekolah 'trade school' itu telah berubah menjadi sekolah berasrama penuh perempuan Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Perempuan Jalan Kolam Air dan kini berubah pula menjadi Sekolah Menengah Sains Puteri. Pada awalnya ayah saya bertugas di pengkalan polis jalan padang tembak Kuala Lumpur 1950 hingga 1958. Saya dilahirkan pada tahun 1955 dan hanya ingat sedikit sahaja. Pada awal tahun 1959 ayah dan keluarga saya berpindah ke Kuala Terengganu. Saya masih ingat ketika itu menaiki keretapi malam. Keretapi itu sebenarnya hanya untuk ke Singapura jadi terpaksalah turun di setesyen keretapi Gemas untuk menukar train ke Pantai Timur. Ketika itu kepala keretapi adalah berwarna hitam dan mengeluarkan banyak asap. Apabila sampai di suatu stesyen selepas bergerak lebih kurang 20 batu kepala keretapi itu perlu berhenti untuk ditambah air kerana keretapi itu digerakkan oleh 'wap air'. Selepas menaiki keretapi di Gemas untuk menuju ke Pantai Timur kami turun di stesyen keretapi Palekbang Kelantan. Kemudian menaiki feri ke bandar Kota Bharu dan tinggal semalaman di hotel bajet tepi sungai. Keesokan harinya kami menaiki bas (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan) berwarna biru muda dengan lambang kijang dan tulisan jawi. Bas negeri Kelantan amat unik dan tidak sama seperti keadaan bas di Terengganu ketika itu (Mungkin bas itu didatangkan dari Thailand). Bas teresbut membawa kami ke Kuala Terengganu. Dari tahun 1959 hingga 1964 keluarga saya pernah tinggal dibeberapa tempat dan setiap tempat itu membawa suatu kenangan yang amat unik. Tempat-tempat itu adalah 1. Di rumah besar yang dikongsi dengan beberapa keluarga lain di Gong Kapas, 2. Berek kelas H di berek polis Kuala Terengganu, 3. Rumah sewa di Kampung Kolam, 4. berek polis kelas G, 5. berek polis kelas E, 6. Rumah sewa di Kampung Ladang dan terakhirnya di Berek Polis 4 tingkat kelas F berwarna biru. Pada peringkat awal kami menduduki rumah banglo besar di belakang sekolah Cina SRJK (C) Chung Hwa Wei Sin ketika itu di Jalan Kota Bharu yang bersambung dengan Jalan Gong Kapas. Kedua-dua Jalan itu kini dinamakan Jalan Sultan Mohamad. Rumah itu berkongsi keluarga (sama macam dalam filem P. Ramlee dalam cerita Bujang Lapok). Rumah itu adalah rumah kayu yang mempunyai beberapa bilik dibina atas kayu yang tinggi. Mempunyai tangga batu di hadapan rumah dan dapur yang dikongsikan di belakang rumah. Ketika itu saya masih ingat ayah saya membeli sebuah basikal roda tiga. Basikal itu boleh membawa penumpang di belakangnya. Basikal itu amat kukuh dan hanya hancur bila dikerjakan oleh saya dan sepupu-sepupu saya pada tahun 1966 di KL.

TAPAK PERMAINAN KANAK-KANAK DI BEREK POLIS KUALA TERENGGANU 1960an

Saya bukanlah anak Terengganu dan saya sememangnya tidak mahir 'kecek dialek Terengganu.  Saya ketika tahun awal 1960an menetap dan membesar sebagai kanak-kanak yang sentiasa 'curious' tentang macam-macam hal disekeliling.  Pada waktu itu tidak ada tv dan aktiviti kanak-kanak yang begitu 'curious' adalah 'adventure' seperti 'merayap' berjalan-jalan untuk meneroka kawasan baharu, memanjat pohon-pohon seperti pokok jambu bongkok, jambu air atas jirat cina, pokok kelapa dan sebagainya atau pun mempunyai hobi seperti menangkap dan membela ikan laga (saya ingat budak-budak memanggil nama ikan sekilar), mengumpul kotak-kotak rokok terpakai, mengumpul gelang getah (rubber bands), mengumpul sampul gula-gula seperti gula 'hacks' dan ada kalanya main berlaga buah getah.  Di waktu sebelah petang ketika hari sudah tidak panas terik, budak-budak di berek polis Kuala Terengganu akan tertumpu di tempat permainan berhampiran padang.  Pelbagai alat permainan ada di tempat itu (ada dua gelungsur yang berbeza ketinggiannya, buaian, jongkang-jongkek, alat mengayun (satu tiang besi di atas terdapat kepingan besi yang disambung dengan beberapa rantai, dihujung rantai ada rod besi empat segi tempat budak-budak bergayut.  8 orang budak boleh bergayut dan berpusing).
Di belakang tapak permainan ini ada satu bangunan konkrit berbentuk 'U' terbalik tanpa tingkap.  Atas atap adalah corong udara kecil.  Didepan bangunan terdapat pintu besi yang berkunci.  Tidak ada kanak-kanak yang berani mendekati bangunan itu disebabkan terdapat papan tanda warna merah bertulis 'Do not Enter' dan ada gambar sesaorang menembak dengan senapang dan terdapat gambar mangsanya tengah nak jatuh dengan kedua-dua tangan mengadah ke arah atas.
Kemungkinan bangunan itu adalah stor bahan letupan kerana binaannya begitu kukuh dan mungkin sudah tidak digunakan lagi.  Terdapat juga sebuah tugu konkrit lama berhampiran dengan bangunan itu.

Di situ terdapat sebuah padang di mana terdapat jalan tanah mengelilingi padang itu.  Antara tempat permainan dengan padang terdapat dua pokok besar dan di bawah pokok besar ini terdapat rumput-rumput hijau yang tebal dan sangat selesa jika kita duduk di atasnya kerana ianya agak redup dan sejuk.

Saya mengingati tempat ini kerana dalam tahun 1962 (saya berumur 7 tahun), saya dan beberapa rakan sebaya 'ternampak' hantu di situ.
Saya akan ceritakan kisah 'hantu/jin' ini pada waktu lain. Zaman kanak-kanak inilah yang amat saya ingat bila sudah tua sebegini kerana zaman itu amat jauh berbeza berbanding dengan zaman kanak-kanak kini.  Zaman saya sebagai kanak-kanak perlukan kawan, tanpa kawan tak adalah 'adventure', hobi dan lain-lain. Saya hanya boleh cerita kerana ketika itu tidak ada kamera, dan hobi berkamera adalah hobi untuk orang-orang kaya sahaja....

Wednesday, 13 November 2013

Aktiviti Menyanyi di Sekolah Paya Bunga Kuala Terengganu

Ketika darjah 2 dalam tahun 1963, 15 September (AHAD).  Suatu hari Cigu Kelas saya bernama En. Muda meminta anak muridnya membawa 'apa-apa makanan dari rumah' dan cawan untuk digunakan dalam jamuan bersama untuk menyambut HARI LAHIRNYA MALAYSIA.
Pada hari  Isnin 16 September 1963.
Pada hari berkenaan semua pelajar dan staf Sekolah Kebangsaan Paya Bunga berhimpun.  Ada ucapan, nyanyian, sajak, tarian dan macam-macam lagi.  Selepas acara berkenaan maka kami pun sama-sama ke kantin dan terus membuka dan mempamirkan makanan yang di bawa dari rumah masing-masing.  Ada yang bawa biskut, nasi dagang ikan aye, roti paun, coklat Van Houten (sedap ooo, coklat nipis dibalut dengan kertas lilin dan kertas aluminium nipis), kek serta buah-buahan (jambu golok kekadang dipanggil 'keterah', buah kelubi, buah bijai, buah sentul).... tak ada pulak yang bawa apple, orange...
Saya pula membawa sebungkus 'kacang goreng' dalam bungkusan kertas surat khabar yang dibeli di kedai belakang berek polis (Jalan Batas Baru). 
Cikgu pula menjerang air dalam periuk yang besar (sesuai untuk masak nasi), dan bila sudah masak airnya (guna dapur kayu), teh serbuk dan susu tin cap api digunakan. Setiap pelajar mengambil air itu untuk diminum beramai-ramai.

Acara nyanyian kelas adalah yang paling menarik;

Chang mali chang, ketipong payong.
Di mana dia anok kambing saya,
Anak kambing saya ada di tepi sawoh,
di mana dia chinta hati saya
Chinta hati saya yang pakai baju meroh...
 
Anok rusa nani
baghu kembang eko
apa dosa kami
lalu tidok tego

Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basika macang beruk
Gi Ppasso curi kepok
Balik ddumoh, sakik peruk
Gi hospita, hospita tutuk
Gi ddumoh Tok Bidang, Tok Bidang ketukkk


Naik bas kompani,
jatuh dalang rok,
ayoh mu mati
mu jangang belawok