Monday, 25 July 2016

MELAYU PEMALAS

MELAYU PEMALAS

Hanya pandangan:
Dahulu sebelum kedatangan Inggeris negeri Melayu diperintah oleh Sultan atau Raja dibantu oleh ketua-ketua kampung (tok Penghulu). Cukai hasil tanaman atau apa-apa sahaja dikenakan. Peraih-peraih akan mengasingkan sebahagian hasil belian daripada penduduk kampung untuk diberi kepada pembesar negeri. Pembesar negeri kemudiannya mengasingkan sebahagian hasil cukai untuk pembendaharaan negeri.
Rata-rata penduduk kampung mengamalkan kerja gotong royong. Pembukaan tanah, pembinaan rumah baru, membuat bendang, menanam padi, malah menangkap ikan dibuat secara gotong royong. Apabila tiba musim menanam padi, semua penduduk kampung akan bersama-sama menanam padi. Jika ada yang tidak hadir sudah tentu akan ditegur oleh ketua kampung, malah akan dikenakan denda atau hukuman.
Jika ada kawasan hutan hendak dibuka, seluruh penduduk bekerjasama secara bergotong royong menebang, membakar (memperun) dan kaum wanita memasak dan menyediakan makanan.
Sejak zaman dahulu lagi orang-orang melayu telah menemui bijih timah. Untuk mendapatkan bijih timah penduduk kampung beramai-ramai mendulang di sungai-sungai. Tetapi hasilnya tidak banyak dan untuk dijual agak sukar. Lalu aktiviti mendulang dilakukan bersendirian ketika waktu lapang.
Orang Inggeris memang tertarik untuk mendapatkan bijih timah. Untuk mereka meneroka sendirian dihutan-hutan dalam cuaca lembap panas memang mustahil. Hendak atau tidak orang Inggeris perlu mendapatkan tenaga kerja dari orang tempatan. Untuk mendapatkan bantuan tenaga itu mereka mesti mendapat persetujuan dari ketua-ketua kampung. Pada awalnya ramailah orang-orang lelaki melayu masuk kedalam hutan mendulang untuk mendapatkan bijih timah.... kemudian masalah mula timbul apabila terdapat ramai pemuda melayu ini tidak hadir bekerja....mereka balik ke kampung halaman untuk kerja gotong royong kenduri kahwin, atau apa-apa kerja yang dilakukan dikampung-kampung. Bagi orang Inggeris, perkara ini merugikan mereka. Untuk mendapatkan tenaga kerja bukanlah mudah apatah lagi untuk mengawal kehadiran mereka.
Panas hati orang Inggeris akan budaya gotong royong orang Melayu ini. Maka itulah sebabnya dibawa masuk kuli dari negara China dan India dalam perlombongan bijih dan perladangan. Orang-orang yang dibawa masuk ini dihalang dari bercampur gaul dengan penduduk melayu tempatan. Penempatan orang-orang luar ini dipusatkan di kawasan khas yang jauh dari penempatan penduduk tempatan.
Jika orang-orang cina dan india ini ditempatkan dikampung-kampung melayu akan berlakulah persaingan mendapatkan tenaga kerja antara orang-orang melayu yang lebih toleran (lebih berperikemanusiaan) berbanding dengan orang-orang Inggeris yang memberi upah yang amat sedikit. Orang Cina diupah dengan candu, manakala orang india diupah dengan minuman samsu.
Persaingan mendapatkan tenaga kerja merungsingkan Inggeris, maka itulah sebabnya mereka menghalang pencampuran dan integrasi kaum-kaum berbeza ini.
Begitu juga, bagi orang ushawanan Inggeris, mereka boleh membeli dan membuka tanah-tanah beribu-ribu ekar dengan harga seekar yang murah. Bagi pengusaha cina pula (ketua kongsi, Kapitan) dihadkan kepada 100 ekar, dan orang melayu yang mampu dibenarkan mengusaha tanah seluas 10 ekar sahaja. Kenapa?
Jika orang melayu dibenarkan memperolehi lebih daripada 10 ekar sudah pasti mereka akan mendapatkan tenaga kerja tambahan, dan ini merungsingkan kapitalis inggeris yang mungkin gagal menghusakan perladangan mereka jika orang-orang india ini diambil bekerja dengan oarng melayu.
Bagi kaum cina pula, luas tanah 100 ekar tidak menggugat sangat saingan dengan inggeris malah mereka boleh bekerjasama berniaga bersama-sama. Entahlah....

Sunday, 24 July 2016

Gobek Api, Mancis

GOBEK API

Ramai yang tidak kenal dan tahu apa itu gobek api. Disini saya sertakan video yang saya temui dalam alam cyber berkenaan dengan gobek api.


Dalam bahasa Inggeris gobek api ini disebut sebagai 'fire piston' atau 'fire syringe'.
Nyalaan bara api terhasil melalui prinsip tekanan, suhu, bahan api dan udara.

Gobek api mempunyai omboh atau piston.  Dihujung permukaan omboh terdapat ruang atau lubang kecil untuk diletakkan bahan bakar atau 'tinder'.  Pembakaran berlaku bila keadaan berikut dipenuhi:-

 1.  Suhu tinggi yang sesuai.
 2.  Adanya bahan api.
 3.  Adanya udara atau oksigen yang cukup

Apabila omboh ditolak dengan cepat melalui hentakan tangan, suhu dalam ruang kecil meningkat tinggi disebabkan perubahan tekanan.  Sesiapa yang mempelajari sains fizik mungkin boleh imbas formula P = nRT,   dan PV = nRT

Apabila tekanan tinggi (hasil dari hentakan omboh) suhu dalam ruang akan meningkat dan apabila suhu yang sesuai tercapai, bahan api seperti serbuk kapas akan terbakar.  Omboh gobek itu perlu dikeluarkan segera agar nyalaan tidak padam akibat kekurangan udara.



Kini nak nyalakan api sangat mudah.... guna pemetik api atau lighter, mancis, percikan elektrostatic seperti yang banyak terdapat dalam dapur gas moden.


Wednesday, 5 August 2015

SEKOLAH KEBANGSAAN PUSAT BUKIT BESAR

Ikutkan sejarah, Sekolah Pusat Bukit Besar dirasmikan pada tahun 1960.  Sekolah ini pada tahun itu hinggalah ke tahun 1965 hanya mengambil pelajar yang hendak masuk ke darjah empat hingga ke darjah enam.
Tetapi pada pertengahan tahun 1965 terdapat kemasukan pelajar darjah 1.
Sekolah baru ini amat cemerlang apabila ramai pelajarnya dipilih memasuki ke sekolah berasrama penuh apabila tamat darjah enam
Pakaian seragam pelajar lelaki adalah berbaju lengan pendek putih dan berseluar pendek putih bagi pelajar lelaki.
Pelajar perempuan pula berbaju kurung putih dengan kain berwarna hijau gelap.
Sekolah ini amat unik kerana terdapat satu bulatan jalanraya (round about) untuk bas-bas yang mengangkut pelajar dari bandar Kuala Terengganu ke sekolah dan balik.
Cukup seronok naik bas yang dikenali bas kompani berwarna merah kuning.
Saya masuk sekolah ini dalam darjah 4.... tak ingat nama kelasnya tetapi kelas yang hujung sekali berhampiran kantin.
Guru-gurunya elegan dan muda dan agak bersemangat mengajar kami. Saya masih ingat seorang guru berbangsa cina mengajar bahasa inggeris. Beliau berbakat melukis dan ada diantara pelajar dipilih untuk dijadikan model lukisannya.
Di sekolah ini terdapat kelab muzik dan saya telah memohon dan diterima untuk masuk kelab presteg ini.  Pelajarnya diajar meniup rekoder (suatu alat yang mahal) dan rekoder itu diberi pinjam bagi kegunaan pelajar.
Semasa hari ibu bapa saya yang rendah meniup muzik rekoder dibaris depan.
Yang istimewanya terapat pelajar perempuan dan salah seorang pelajar itu adalah anak seorang Menteri Besar (Dato' Mohamad Fikri) yang bernama Zaharah.
Zaharah ini baik budaknya dan tidak sombong walaupun beliau dihantar dan diambil dengan kereta oleh seorang drebar khas. Saya berpeluang sekali diajak (ia ke diajak), menaiki keretanya balik kerumah (ketika itu rumah saya di berek polis Kuala Terengganu) manakala beliau pula di rumah rasmi Menteri Besar di Jalan Paya Bunga.
Pada waktu itu terdapat dua blok bagunan setingkat yang tersusun memanjang hala ke belakang. Di antara blok bangunan ini ditengah-tengah terdapat bangunan tandas.
Keadaan tandasnya jauh lebih bersih daripada keadaan tandas Sekolah lama saya di Sekolah Rendah Paya Bunga.
Pada zaman itu kebanyakan sekolah telah dinamakan sekolah kebangsaan kerana ianya tidak hanya khusus kepada pelajar kaum Melayu. Namun panggilan sekolah saya kekal lagi dipanggil sebagai sekolah Pusat Bukit Besar.
Ketika perlawanan sukan antara sekolah-sekolah Kuala Terengganu, sekolah Pusat Bukit Besar selalunya menjadi johan dan dicemburu oleh sekolah-sekolah lain hingga tergamak pelajar sekolah lain mengejek sekolah kami sebagai sekolah pusat burit besar.
Saya hanya sempat bersekolah di sini dalam tahun 1965 kerana awal tahun 1966 saya mengikuti keluarga saya berpindah ke Kuala Lumpur.

Perjalanan dari K Terengganu KL 1960an

Pada tahun 1964, tiada perkhidmatan bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur secara terus. Untuk ke Kuala Lumpur terdapat dua cara, 1. Menaiki bas ekspress K Trengganu ke Kota Bharu, kemudian mungkin selepas tidur dihotel tepi Sungai Kelantan bolehlah naik feri keretapi menyeberang Sungai Kelantan ke stesyen keretapi Palekbang. Cara yang ke 2, adalah menaiki bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kemaman. Bas ekspres itu berwarna merah hati. Di Kemaman pula menaiki bas henti-henti ke bandar Kuantan. Bas berwarna aluminium akan sampai ke Kuantan di hentian bas tepi Sungai Kuantan. Stesen bas Kuala Terengganu sekarang telah menjadi stesyen teksi. Dari bandar kuantan (selepas tidur semalaman di hotel) bas ekspres tidak silap saya berwarna biru. Bas bergerak pagi dan sampai di stesen bas jalan Melaka pada waktu petang. Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, terdapat 9 buah sungai yang perlu di tempuhi dengan menggunakan perkhidmatan feri. Sungai-sungai berkenaan adalah seperti berikut: 1. Kuala Ibai 2. Sungai di Marang 3. Kuala Dungun (melalui Tanjung Jara) 4. Paka 5. Kemasik 6. Sungai Chukai 7. Sungai Kemaman 8. Sungai Kuantan 9. Sungai Temerloh Ada Feri yang digerakkan oleh bantuan bot, kadang-kadang dua buah bot digunakan bagi sungai-sungai yang lebar seperti Sungai Pahang di Temerloh, di Paka dan di Kuala Dungun. Lain-lain tempat agaknya feri itu digerakkan dengan menggunakan 2 tali kabel yang diikat pada feri dan di kedua-dua belah tebing sungai. Menaiki feri adalah amat merbahaya terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika arus sungai amat deras. Bilangan kenderaan yang boleh diisi atas feri amat terhad. Pernah saya melihat hanya ada satu sahaja lori pasir atas feri ketika menyeberang sungai. Pernah berlaku feri terbalik atau kenderaan menggelungsur ke dalam sungai. Saya masih ingat apabila bas berhenti di kampung seberang Dungun, deretan kenderaan menanti giliran untuk menyeberang Kuala Sungai Dungun. Dalam bas yang tidak berhawa dingin amat merimaskan apatah lagi bas itu juga membawa barang-barang yang dibeli oleh penumpang bas. Atas bumbung bas terdapat bagasi penumpang dan kadangkala ada basikal. Saya turun dari bas ketika mahu membuang air. Selepas membuang air (sudah tentu tepi parit aje) saya berjalan-jalan menyusuri jalan, Saya masih ingat dan hairan melihat beberapa jirat cina lama ditepi jalan. Mungkin jirat cina itu adalah pelaut yang mati ketika kapal atau jong mereka karam di laut berhampiran. Bila menyeberangi sungai saya dapati bas melalui pasar Dungun, bandarnya agak sesak dengan penjual dan teksi (beca). Bas bergerak perlahan kemudian terpaksa berhenti kerana ada keretapi hendak bergerak di Sura Gate. Saya melihat budak-budak sekolah menaiki keretapi dan bas ketika itu berhenti bersebelahan sekolah menengah Dungun (Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar). Pada tahun 1984 saya bekerja di bandar Dungun. Kesan landasan keretapi masih ada dan tempat di mana keretapi itu berehat masih ada di tempat pasar tani Sura Gate. Malah saya pernah melihat dan melalui gua keretapi di Nibong. Kesan lain adalah di pantai teluk lipat masih terdapat tunggul konkrit pelabuhan yang sudah tentu ianya adalah landasan keretapi. Kesan Pasar lama masih ada, pasar baru yang moden dengan parking kereta yang banyak dibina pada pertengahan tahun 1980an du hujung jalan Penaga dekat Sungai Dungun. I love Dungun. Penduduknya baik-baik, malah ada beberapa orang tempatan yang sangat baik dengan saya di Dungun.

RADIO, LAMPU, KERETA 1960an di Terengganu

Sebagai anak anggota polis di mana ayah bekerja dibahagian mekanik pengangkutan, saya banyak melihat kenderaan yang digunakan oleh polis.  Namun saya lebih seronok melihat kereta-kereta yang bergerak di jalan-jalan raya seperti di Jalan Paya Bunga.
Ada juga beberapa kereta 'continental' yang besar.  Kereta dari negara Jepun belum banyak pada masa itu dan jika ada pun ianya adalah toyota pet (ayah saudara saya bekerja di RIDA Terengganu menggunakannya).
Gambar ini didapati dari suatu blog negara US.Kereta dari negara barat ada banyak seperti, Austin, MG, Morris, Mercedes, Volvo, Renault, Ford, Vauxhall, Hillman dan macam-macam lagi.

Deretan kereta Hillman.

 
 
Terdapat kereta jenama Morris Minor di mana lampu isyaratnya terletak tengah-tengah antara tingkap pemandu dan penumpang.  Apabila membelik lampu isyarat akan keluar dari tempatnya dan melambai-lambai untuk memberi isyarat kereta sedang membelok ('flip out signals').
 

 
Morris Minor

 
Pada tahun 1959 - 1964 di Terengganu belum ada televisyen.  Siaran radio sudah ada tetapi tidaklah seperti sekrang di mana siarannya hanylah untuk beberapa jam sahaja (tidak 24 jam).  Untuk mendengar siaran radio kenalah memilih jenis gelombang radio sama ada dari gelombang pendek atau gelombang sederhana (Sw atau Mw).  Jika memilih gelombang pendek, siaran dari jauh seperti dari stesyen radio Singapura, Thailand atau Indonesia boleh didengar.  Kadang-kadang kita juga bernasib baik boleh mendengar perbualan kelasi kapal kerana mereka juga menggunakan gelombang pendek.  Namun suara atau bunyi yang kita dengar adakalanya juat dan selalunya perlahan-lahan.  Selalu juga ianya terganggu oleh bunyi 'Morse Code' dari kapal laut.., bip, beep, bip bit...... bit beeeeeep..
Untuk mendengar radio Malaya/Malaysia untuk lebih jelas kita pilih siaran dari gelombamg sederhana.  Pada waktu itu belum ada lagi siaran FM.
 
 
Radio Grundig
 
Pada zaman itu tidak banyak rumah-rumah mempunyai radio kerana radio memerlukan kauasa elektrik sedangkan tidak semua rumah dipasang dengan bekalan elektrik.  Ketika itu saya masih kecil dan merasa amat pelik macam mana ada bunyi manusia bercakap atau menyanyi dan dalam fikiran saya 'adakah terdapat makhluk seperti orang yang kecil tinggal dalam kota radio itu.  Pada waktu itu belum ada transistor dan yang ada adalah bulb panas ('thermal valve, macam mentol) yang mengeluarkan cahaya seperti lampu.
 
 
Thermal valve dalam radio lama
 
 
Penggantian thermal valve kepada transistor mengubah kota radio yang besar kepada kotak-kota yang lebih kecil dan boleh dibawa kemana-mana kerana kuasa bateri boleh digunakan.  Perhatikan tiada 'wafer' digunakan dalam mengatur litar dalam radio transistor ketika itu.
 
 
Pengenalan radio transistor mengakibatkan kejutan buadaya pada masa itu.  Ketika itu zaman manusia percayakan hantu jembalang terkejut takut bila mendengar bunyi radio bila sedang menoreh atau berjalan diwaktu malam.  Gambaran kejutan budaya ini ada dirakamkan dalam bentuk filem ketika radio transistor dibawa masuk ke tempat kediaman orang-orang asli.  Macam mana suara boleh keluar dari kotak kecil itu tanpa wayar.  Biasanya radio dahulu perlu bekalan elektrik, jadi pada fikiran orang awam yang tak bersekolah, bunyi radio itu mungkin datang dari wayar elektrik!
 


 
 
 
 
 


Pandangan Pasar Tanjung bandar sepi Kuala Terengganu 1960an



Pada tahun 1960an saya bersekolah di dua buah sekolah rendah, iaitu Sekolah Melayu Lelaki Paya Bunga (Sekolah Kebangsaan Paya Bunga) dan Sekolah Pusat Bukit Besar (Sekolah Kebangsaan Pusat Bukit Besar).  Saya masih boleh ingat sedikit tentang keunikan bandar dan budaya di Kuala Terengganu.
Bandar Kuala Terengganu tidaklah besar mana, aktiviti utama masyarakat ketika itu adalah di tebing sungai Terengganu.  Air Sungai yang jernih inilah tempat utama aktiviti penduduk di kawasan itu.
Tiadak silap saya terdapat dua pasar di Kuala Terengganu, 1. adalah pasar Tanjung.  Pasar ini tempat jualan ikan, sayur dan lain-lain keperluan rumah dan dibuka pada waktu pagi. Ramailah pengunjung yang datang untuk membeli ikan dan sayur-sayuran.  Yang menjual ikan biasanya peniaga lelaki manakala sayur-sayuran pula kebanyakannya terdiri dari kalangan wanita. Hampir semua peniaga ikan dan sayuran terdiri daripada kaum Melayu. 
Terdapat juga gerai-gerai ditepi pasar Tanjung yang menjual beras, tepung, sabun dan lain-lain keperluan barang kering.  Peniaganya pula terdiri daripada kaum India dan Cina. Tempat yang menarik adalah gerai yang menjual barang mainan kanak-kanak. Ketika itu  belum ada barang permainan yang diperbuat daripada plastik.
Model kereta, bas, lori, kapal terbang, kuda dan lain-lain kebanyakannya diperbuat daripada kepingan logam, kayu, batu dan resin? (lupa nama bahannya, contohnya  adalah bola ping pong).
Ikan-ikan biasanya dijual dengan pelbagai cara... yang paling biasa adalah ikan-ikan keci dan sederhana saiznya dijual secara longgok ataupun seekor-sekor.
Selonggok harga 1 Rial (seringgit) manakala seekor ikan kembong biasanya berharga 10 sen.
Saya pernah membeli kepala ikan merah yang besar yang dibelah separuh berharga 1 amah (50 puluh sen).
Sayur pula ada pelbagai seperti kacang panjang, kang kung, terung dan lain-lainnya. Sayur biasanya diikat dengan getah, seikat berharga 10 sen.
Ayam pula dijual secara hidup.  Pembeli terpaksa menyembelih sendiri ayam itu di rumah jika untuk dibuat lauk.  Jualan ayam adalah secara timbang kati (saya tidak tahu berkenaan harganya kerana tiada pengalaman membelinya).
Zaman itu belum ada peti simpan beku, malahan air batu yang dipecah-pecah pun amat sedikit dan bila ianya cair tiada lagi tempat penyimpanan ikan-ikan dan ikan-ikan itu akhirnya terpaksa dibuang atau diberi kepada mereka yang berminat secara murah atau percuma.  Saya pernah melihat ikan-ikan yang tidak dijual dibuang ke dalam longkang mereput begitu sahaja.  Namun saya difahamkan ada banyak yang di ambil atau dibeli untuk membuat keropok, dijemur untuk membuat ikan masin atau diambil untuk dibuat budu.
Di hadapan pasar tanjung terdapat deretan kedai batu yang menjual bahan kering dan ada juga dijadikan kedai kopi. Ada jalan besar, iaitu Jalan Tanjung yang memisahkan pasar dengan deretan kedai itu.
Tidak silap saya tapak pasar itu yang berhadapan simpang tiga dirobohkan dan dijadikan tempat setesen bas ekspres pada pertengahan tahun 1970an.
Pasar Tanjung menjadi kenangan saya kerana hampir setiap pagi saya akan membeli beberapa ekor ikan kembong dan sayur (emak bekalkan saya 1 ringgit) untuk dibeli dan dibawa balik.  Waktu itu 1963 saya dalam darjah 2 bersekolah disebelah petang.
Saya akan berjalan kaki dari Kampung Ladang menembusi Kampung Kolam dan sampailah ke tempat Pasar dengan menyeberang jalanraya.
Waktu itu membeli bahan makanan tidak boleh dibeli dengan banyak, biasanya untuk dimakan untuk hari itu sahaja.  Ini kerana tiadanya peti ais dan peti ais adalah benda mewah yang tidak ramai yang mampu memilikinya.
Pada zaman itu dikedai kopi, harga secawan kopi susu adalah 10 sen manakala tiada susu berharga 5 sen.
Sepinggan kecil nasi dagang berharga antara 10 hingga 30 sen sahaja.  Nasi dagang zaman itu sememangnya enak kerana lauknya banyak dan kuahnya berlemak santan.
Agak jarang saya jumpa nasi lemak berlaukkan sambal telur, ini mungkin kerana telur adalah benda mewah dan tidak banyak dijual.
Di belakang pasar terdapat perkampungan nelayan yang mendiri rumah-rumah kayu beratapkan nipah.  Rakan saya ada menetap dikampung itu dan pernah saya pergi melihatnya dirumah.  Rumah kayu berdindingkan belahan buluh dan kayu papan tidak tersusun dan kita berjalan dicelah-celah rumah diperkampungan itu.  Mungkin bila air laut pasang akan terdapat limpahan air dari sungai ke kawasan itu.  Ini kerana saya dapati kawasan perkampungan itu lembab.
Sekitar kawasan kampung amat kotor dan berbau namun kita kena ingat, zaman itu hampir semua bahan yang digunakan penduduk adalah bahan yang boleh dilupuskan secara biologi (Zaman belum ada bahan pelastik).
Apabila waktu tengahari, keadaan pasar menjadi lengang dan ramai penghuninya ke Masjid Putih (Masjid Zainal Abidin) untuk bersolat atau berihat.
Ketika Pasar Tanjung tutup terdapat satu lagi pasar yang akan dibuka untuk aktiviti jual beli iaitu Pasar Payang.
Pasar Payang terletak ditebing sungai, ketika air pasang banyaklah perahu nelayan berlabuh ditepi pasar ini dan ikan-ikan dipunggahkan kedalam bakul rotan yang besar dan dinaikkan ke dalam pasar.
Saya ingat hanya satu kali sahaja saya pergi ke pasar ini dengan ayah saya kerana waktu petang saya bersekolah dan pasar payang ini agak jauh jaraknya dari tempat saya tinggal (Kampung Ladang).

Thursday, 14 November 2013

Kuala Terengganu tempat saya membesar zaman kanak-kanak

Ayah saya (Tn. Hj. Abd Malek bin Mahmud) bekerja sebagai anggota polis di bahagian pengangkutan (transport department). Arwah dahulu bersekolah di 'trade school' Jalan Kolam Air berhampiran Maxwell Sschool di Kuala Lumpur. Sekolah tersebut telah dipindahkan ke Cheras dan dinamakan Sekolah Menengah Teknik Kuala Lumpur. Manakala tapak asal sekolah 'trade school' itu telah berubah menjadi sekolah berasrama penuh perempuan Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Perempuan Jalan Kolam Air dan kini berubah pula menjadi Sekolah Menengah Sains Puteri. Pada awalnya ayah saya bertugas di pengkalan polis jalan padang tembak Kuala Lumpur 1950 hingga 1958. Saya dilahirkan pada tahun 1955 dan hanya ingat sedikit sahaja. Pada awal tahun 1959 ayah dan keluarga saya berpindah ke Kuala Terengganu. Saya masih ingat ketika itu menaiki keretapi malam. Keretapi itu sebenarnya hanya untuk ke Singapura jadi terpaksalah turun di setesyen keretapi Gemas untuk menukar train ke Pantai Timur. Ketika itu kepala keretapi adalah berwarna hitam dan mengeluarkan banyak asap. Apabila sampai di suatu stesyen selepas bergerak lebih kurang 20 batu kepala keretapi itu perlu berhenti untuk ditambah air kerana keretapi itu digerakkan oleh 'wap air'. Selepas menaiki keretapi di Gemas untuk menuju ke Pantai Timur kami turun di stesyen keretapi Palekbang Kelantan. Kemudian menaiki feri ke bandar Kota Bharu dan tinggal semalaman di hotel bajet tepi sungai. Keesokan harinya kami menaiki bas (Syarikat Kenderaan Melayu Kelantan) berwarna biru muda dengan lambang kijang dan tulisan jawi. Bas negeri Kelantan amat unik dan tidak sama seperti keadaan bas di Terengganu ketika itu (Mungkin bas itu didatangkan dari Thailand). Bas teresbut membawa kami ke Kuala Terengganu. Dari tahun 1959 hingga 1964 keluarga saya pernah tinggal dibeberapa tempat dan setiap tempat itu membawa suatu kenangan yang amat unik. Tempat-tempat itu adalah 1. Di rumah besar yang dikongsi dengan beberapa keluarga lain di Gong Kapas, 2. Berek kelas H di berek polis Kuala Terengganu, 3. Rumah sewa di Kampung Kolam, 4. berek polis kelas G, 5. berek polis kelas E, 6. Rumah sewa di Kampung Ladang dan terakhirnya di Berek Polis 4 tingkat kelas F berwarna biru. Pada peringkat awal kami menduduki rumah banglo besar di belakang sekolah Cina SRJK (C) Chung Hwa Wei Sin ketika itu di Jalan Kota Bharu yang bersambung dengan Jalan Gong Kapas. Kedua-dua Jalan itu kini dinamakan Jalan Sultan Mohamad. Rumah itu berkongsi keluarga (sama macam dalam filem P. Ramlee dalam cerita Bujang Lapok). Rumah itu adalah rumah kayu yang mempunyai beberapa bilik dibina atas kayu yang tinggi. Mempunyai tangga batu di hadapan rumah dan dapur yang dikongsikan di belakang rumah. Ketika itu saya masih ingat ayah saya membeli sebuah basikal roda tiga. Basikal itu boleh membawa penumpang di belakangnya. Basikal itu amat kukuh dan hanya hancur bila dikerjakan oleh saya dan sepupu-sepupu saya pada tahun 1966 di KL.

TAPAK PERMAINAN KANAK-KANAK DI BEREK POLIS KUALA TERENGGANU 1960an

Saya bukanlah anak Terengganu dan saya sememangnya tidak mahir 'kecek dialek Terengganu.  Saya ketika tahun awal 1960an menetap dan membesar sebagai kanak-kanak yang sentiasa 'curious' tentang macam-macam hal disekeliling.  Pada waktu itu tidak ada tv dan aktiviti kanak-kanak yang begitu 'curious' adalah 'adventure' seperti 'merayap' berjalan-jalan untuk meneroka kawasan baharu, memanjat pohon-pohon seperti pokok jambu bongkok, jambu air atas jirat cina, pokok kelapa dan sebagainya atau pun mempunyai hobi seperti menangkap dan membela ikan laga (saya ingat budak-budak memanggil nama ikan sekilar), mengumpul kotak-kotak rokok terpakai, mengumpul gelang getah (rubber bands), mengumpul sampul gula-gula seperti gula 'hacks' dan ada kalanya main berlaga buah getah.  Di waktu sebelah petang ketika hari sudah tidak panas terik, budak-budak di berek polis Kuala Terengganu akan tertumpu di tempat permainan berhampiran padang.  Pelbagai alat permainan ada di tempat itu (ada dua gelungsur yang berbeza ketinggiannya, buaian, jongkang-jongkek, alat mengayun (satu tiang besi di atas terdapat kepingan besi yang disambung dengan beberapa rantai, dihujung rantai ada rod besi empat segi tempat budak-budak bergayut.  8 orang budak boleh bergayut dan berpusing).
Di belakang tapak permainan ini ada satu bangunan konkrit berbentuk 'U' terbalik tanpa tingkap.  Atas atap adalah corong udara kecil.  Didepan bangunan terdapat pintu besi yang berkunci.  Tidak ada kanak-kanak yang berani mendekati bangunan itu disebabkan terdapat papan tanda warna merah bertulis 'Do not Enter' dan ada gambar sesaorang menembak dengan senapang dan terdapat gambar mangsanya tengah nak jatuh dengan kedua-dua tangan mengadah ke arah atas.
Kemungkinan bangunan itu adalah stor bahan letupan kerana binaannya begitu kukuh dan mungkin sudah tidak digunakan lagi.  Terdapat juga sebuah tugu konkrit lama berhampiran dengan bangunan itu.

Di situ terdapat sebuah padang di mana terdapat jalan tanah mengelilingi padang itu.  Antara tempat permainan dengan padang terdapat dua pokok besar dan di bawah pokok besar ini terdapat rumput-rumput hijau yang tebal dan sangat selesa jika kita duduk di atasnya kerana ianya agak redup dan sejuk.

Saya mengingati tempat ini kerana dalam tahun 1962 (saya berumur 7 tahun), saya dan beberapa rakan sebaya 'ternampak' hantu di situ.
Saya akan ceritakan kisah 'hantu/jin' ini pada waktu lain. Zaman kanak-kanak inilah yang amat saya ingat bila sudah tua sebegini kerana zaman itu amat jauh berbeza berbanding dengan zaman kanak-kanak kini.  Zaman saya sebagai kanak-kanak perlukan kawan, tanpa kawan tak adalah 'adventure', hobi dan lain-lain. Saya hanya boleh cerita kerana ketika itu tidak ada kamera, dan hobi berkamera adalah hobi untuk orang-orang kaya sahaja....

Wednesday, 13 November 2013

Aktiviti Menyanyi di Sekolah Paya Bunga Kuala Terengganu

Ketika darjah 2 dalam tahun 1963, 15 September (AHAD).  Suatu hari Cigu Kelas saya bernama En. Muda meminta anak muridnya membawa 'apa-apa makanan dari rumah' dan cawan untuk digunakan dalam jamuan bersama untuk menyambut HARI LAHIRNYA MALAYSIA.
Pada hari  Isnin 16 September 1963.
Pada hari berkenaan semua pelajar dan staf Sekolah Kebangsaan Paya Bunga berhimpun.  Ada ucapan, nyanyian, sajak, tarian dan macam-macam lagi.  Selepas acara berkenaan maka kami pun sama-sama ke kantin dan terus membuka dan mempamirkan makanan yang di bawa dari rumah masing-masing.  Ada yang bawa biskut, nasi dagang ikan aye, roti paun, coklat Van Houten (sedap ooo, coklat nipis dibalut dengan kertas lilin dan kertas aluminium nipis), kek serta buah-buahan (jambu golok kekadang dipanggil 'keterah', buah kelubi, buah bijai, buah sentul).... tak ada pulak yang bawa apple, orange...
Saya pula membawa sebungkus 'kacang goreng' dalam bungkusan kertas surat khabar yang dibeli di kedai belakang berek polis (Jalan Batas Baru). 
Cikgu pula menjerang air dalam periuk yang besar (sesuai untuk masak nasi), dan bila sudah masak airnya (guna dapur kayu), teh serbuk dan susu tin cap api digunakan. Setiap pelajar mengambil air itu untuk diminum beramai-ramai.

Acara nyanyian kelas adalah yang paling menarik;

Chang mali chang, ketipong payong.
Di mana dia anok kambing saya,
Anak kambing saya ada di tepi sawoh,
di mana dia chinta hati saya
Chinta hati saya yang pakai baju meroh...
 
Anok rusa nani
baghu kembang eko
apa dosa kami
lalu tidok tego

Pok Pok Pok Bujang Lapok
Naik basika macang beruk
Gi Ppasso curi kepok
Balik ddumoh, sakik peruk
Gi hospita, hospita tutuk
Gi ddumoh Tok Bidang, Tok Bidang ketukkk


Naik bas kompani,
jatuh dalang rok,
ayoh mu mati
mu jangang belawok






BANJIR DI PAHANG 2007. Ketika itu saya bertugas sebagai Pengetua di Sekolah Menengah Teknik Pertanian Chenor Pahang. Dalam video yang diambil dari youtube, yang mengemudi bot bantuan adalah PAK LANG (En. Samsudin bin Awang Yusoh).... saya pernah memohon kepadanya agar membenarkan membawa saya menaiki bot jika berlaku banjir lagi. Namun tahun-tahun berikutnya tiada banjir besar terjadi di Chenor Pahang.


 
 
 

Tuesday, 5 November 2013

PENCEN

Kini saya tinggal di Johor Bahru. Semasa bekerja dulu dalam ofis ada akuarium yang bersaiz agak kecil iaitu 2 kaki x 1 1/2 kaki. Ada kalanya membela ikan emas, kemudian ikan emas diganti dengan ikan sungai pemberian cikgu yang baik hati iaitu Tuan Hj. Jamaludin, iakan yang diberi adalah ikan kelah dan kemudian ikan lampam sungai. Setelah ikan-ikan itu ada yang mati ketika pam air akuarium tidak berfungsi (blackout semasa cuti sekolah), saya telah menggantikannya dengan ikan jenis 'guppy'. Seronok benar melihat ikan-ikan comel ni sehingga ada yang melahirkan anak-anak kecil. Maka apabila sudah bersara saya telah membeli dua akuarium, satu bersaiz 4 kaki x 1.5 kaki dan satu lagi bersaiz kecil 1 kaki x 1 kaki. Akuarium besar saya membela ikan sungai yang dibeli dari kedai akuarium di bandar Temerloh. Ikan-ikan itu sebanyak 20 ekor, iaitu terdiri daripada ikan kelah, ikan tengas, ikan lampam sungai dan ikan jelawat.

KEADAAN BANJIR 1960an KUALA TERENGGANU

Pada tahun 1960an dihujung tahun selalunya hujan monsoon dan sering berlaku banjir yang memakan beberapa hari. Sayangnya pada waktu itu keluarga saya tiada kamera untuk dijadikan gambar kenangan. Hobi mengambil gambar hanya dinikmati oleh orang-orang berada walaupun ada juga kakitangan kerajaan memiliki kamera dan juga alat mencetak gambar di rumah. Saya akan cuba menceritakan sedikit sebanyak pengalaman ketika banjir pada ketika itu. Tahun 1965 saya bersekolah di Sekolah Pusat Bukit Besar. Dalam bulan Disember (waktu akhir persekolahan) saya menunggu bas di jalan Wireless (Jalab Sultan Omar) berhampiran bengkel kenderaan Polis Kontigen Terengganu. Bas kompani datang mengambil beberapa orang pelajar (ketika itu pelajar lelaki memakai baju putih berlengan pendek dan berseluar pendek putih, berkasut kain putih tanpa memakai stokin, pelajar perempuan pula berbaju kurung putih dengan kain bewarna biru gelap) dan terus memabawa ke sekolah pusat bukit besar. Sekolah ini terdapat bulatan (round about) di depan dalam kawasan sekolah. Semasa waktu rehat saya dan beberapa rakan kelas berjalan ke tepi pagar dan melihat kawasan sawah telah dipenuhi air banjir. Waktu itu hujan renyai-renyai tanpa henti. Bagi kanak-kanak seperti kami di Kuala Terengganu ketika itu, hujan renyai-renyai adalah perkara kecil dan tidak perlu menggunakan payung atau memakai baju hujan. Malahan ketika itu mempunyai payung dan baju hujan adalah dinikmati oleh anak-anak orang kaya sahaja. Selepas rehat kami ke kelas untuk diajar oleh guru-guru kami yang rata-ratanya muda belia. Selepas tamat persekolahan saya dan beberapa pelajar yang menaiki bas merasa resah kerana bas sekolah tidak datang untuk mengambil kami pulang. Akhirnya bila terlalu lama menunggu kami pun berpakat berjalan kaki sahaja ke rumah. Sudah tentu kami akan berjalan melalui jalan-jalan raya yang telah pun banjir. Dari jalan pasir panjang kami belok ke kiri ke jalan Kota Bharu (Jalan Sultan Mohamad). Menuruni bukit air sudah ke paras pinggang ( saya ketika itu tinggi 4.5 kaki). Tiada kenderaan melalui jalan itu kecuali lori-lori JKR mengangkat barang-barang rumah yang terjejas. Apabila melihat kami beramai-ramai meredah air bah di jalan Hiliran, ada lori-lori JKR berhenti dan menyuruh kami panjat ke atas lori di bawa hingga ke tempat yang tidak lagi banjir di Jalan Air Jernih (kawasan berbukit). Dari situ kami jalan ke arah bandar untuk ke rumah masing-masing. Dalam perjalanan itu di kiri jalan terdapat beberapa rumah kayu yang hanyut kesan arus deras banjir. Pada waktu itu kebanyakan rumah penduduk adalah ditempat yang agak berpaya dan Kuala Terengganu ketika itu banyak kawasan berpaya. Kami budak budak sekolah tidak merasa penat malah seronok meredah banjir walaupun pakaian dan peralatan sekolah semuanya basah. Berdecit-decit kami berjalan kerana dalam kasut (saya memakai kasut kain putih bercap 'arrow', harganya lebih murah berbanding kasut Bata). Hujung kasut dah ternganga kerana koyak akibat terkena air. Saya tinggal diberek polis dan di kawasan padang Polis terdapat berpuluh-puluh helikopter tentera yang digunakan untuk menyelamat penduduk yang terkena banjir. Bunyik deruman enjin helikopter berwarna hijau gelap disertai dengan angin putaran kipas diperhati dengan penuh takjub oleh penduduk yang mengerumuni padang itu. Ketika itu helikopter yang digunakan adalah kepunyaan tentera British manakala tentera Tanah Melayu hanya ada dua buah sahaja helikopter. Kami budak-budak Melayu amat teruja melihat pemuda Melayu yang memandu salah satu helikopter tersebut... Di rumah ketika waktu malam akan terdengar dentuman ombak dengan disertai angin monsoon yang bertiup kencang. Apabila waktu siang kami budak-budak lelaki akan meredah air diatas padang berhampiran helikopter. Ada juga budak-budak yang membuat bot dari kulit kelapa. Diletaknya layar yang diperbuat daripada kertas yang diperkukuh oleh lidi kelapa dan dicucuk ke atas sabut kelapa. Kemudi bot diperbuat daripada daun kelapa. Sungguh seronok melihat bot (atau kapal) bot itu ditiup angin bergerak atas air banjir.

Saturday, 18 February 2012

Perjalanan dari K Terengganu KL 1960an



Pada tahun 1964, tiada perkhidmatan bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur secara terus. Untuk ke Kuala Lumpur terdapat dua cara, 1. Menaiki bas ekspress K Trengganu ke Kota Bharu, kemudian mungkin selepas tidur dihotel tepi Sungai Kelantan bolehlah naik feri keretapi menyeberang Sungai Kelantan ke stesyen keretapi Palekbang. Cara yang ke 2, adalah menaiki bas ekspres dari bandar Kuala Terengganu ke Kemaman. Bas ekspres itu berwarna merah hati. Di Kemaman pula menaiki bas henti-henti ke bandar Kuantan. Bas berwarna aluminium akan sampai ke Kuantan di hentian bas tepi Sungai Kuantan.
Stesen bas Kuala Terengganu sekarang telah menjadi stesyen teksi.
Dari bandar kuantan (selepas tidur semalaman di hotel) bas ekspres tidak silap saya berwarna biru. Bas bergerak pagi dan sampai di stesen bas jalan Melaka pada waktu petang.
Dari Kuala Terengganu ke Kuala Lumpur, terdapat 9 buah sungai yang perlu di tempuhi dengan menggunakan perkhidmatan feri. Sungai-sungai berkenaan adalah seperti berikut:
1. Kuala Ibai
2. Sungai di Marang
3. Kuala Dungun (melalui Tanjung Jara)
4. Paka
5. Kemasik
6. Sungai Chukai
7. Sungai Kemaman
8. Sungai Kuantan
9. Sungai Temerloh

Ada Feri yang digerakkan oleh bantuan bot, kadang-kadang dua buah bot digunakan bagi sungai-sungai yang lebar seperti Sungai Pahang di Temerloh, di Paka dan di Kuala Dungun. Lain-lain tempat agaknya feri itu digerakkan dengan menggunakan 2 tali kabel yang diikat pada feri dan di kedua-dua belah tebing sungai.
Menaiki feri adalah amat merbahaya terutamanya pada musim tengkujuh atau ketika arus sungai amat deras. Bilangan kenderaan yang boleh diisi atas feri amat terhad. Pernah saya melihat hanya ada satu sahaja lori pasir atas feri ketika menyeberang sungai. Pernah berlaku feri terbalik atau kenderaan menggelungsur ke dalam sungai.
Saya masih ingat apabila bas berhenti di kampung seberang Dungun, deretan kenderaan menanti giliran untuk menyeberang Kuala Sungai Dungun. Dalam bas yang tidak berhawa dingin amat merimaskan apatah lagi bas itu juga membawa barang-barang yang dibeli oleh penumpang bas. Atas bumbung bas terdapat bagasi penumpang dan kadangkala ada basikal. Saya turun dari bas ketika mahu membuang air. Selepas membuang air (sudah tentu tepi parit aje) saya berjalan-jalan menyusuri jalan, Saya masih ingat dan hairan melihat beberapa jirat cina lama ditepi jalan. Mungkin jirat cina itu adalah pelaut yang mati ketika kapal atau jong mereka karam di laut berhampiran.
Bila menyeberangi sungai saya dapati bas melalui pasar Dungun, bandarnya agak sesak dengan penjual dan teksi (beca). Bas bergerak perlahan kemudian terpaksa berhenti kerana ada keretapi hendak bergerak di Sura Gate. Saya melihat budak-budak sekolah menaiki keretapi dan bas ketika itu berhenti bersebelahan sekolah menengah Dungun (Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Omar).
Pada tahun 1984 saya bekerja di bandar Dungun. Kesan landasan keretapi masih ada dan tempat di mana keretapi itu berehat masih ada di tempat pasar tani Sura Gate. Malah saya pernah melihat dan melalui gua keretapi di Nibong.
Kesan lain adalah di pantai teluk lipat masih terdapat tunggul konkrit pelabuhan yang sudah tentu ianya adalah landasan keretapi. Kesan Pasar lama masih ada, pasar baru yang moden dengan parking kereta yang banyak dibina pada pertengahan tahun 1980an du hujung jalan Penaga dekat Sungai Dungun. I love Dungun. Penduduknya baik-baik, malah ada beberapa orang tempatan yang sangat baik dengan saya di Dungun.

Monday, 30 January 2012

1963 PEMBINAAN STADIUM TERENGGANU

Stadium Sultan Ismail dahulunya dinamakan Stadium Kuala Terengganu.  Tapak stadium itu adalah sebidang padang yang dikenali sebagai 'padang paya bunga'. Terdapat jalan tanah masuk dari Jalan Paya Bunga (sekarang dikenali sebagai Jalan Sultan Zainal Abidin) berhadapan berek polis. Dikiri jalan masuk terdapat dua buah pokok getah tua dan banyak pokok-pokok kelapa.  Dihujung jalan tanah itu pula terdapat bangunan kayu Mahkamah Kuala Terengganu dan jika kita jalan terus kita akan melalui tapak perkuburan lama.

Saya selalu gunakan jalan tanah ini untuk ke sekolah kebangsaan Paya Bunga sebagai jalan pintas. Dihujung padang saya akan belok ke kiri dan disitu terdapat banglo orang cina yang mempunyai anjing.  Bila sampai sahaja di kawasan ini saya akan berasa gementar apatah lagi jika ternampak anjing-anjing itu di kawasan berhampiran.  Selalu juga saya kena kejar oleh anjing-anjing itu... Tetapi anjing-anjing ini hanya menyalak dan sebenarnya anjing itu jika dibaling dengan kayu akan menengkeng lari.

Pada masa stadium hendak dibina, semua pokok-pokok yang ada di persekitaran kawasan padang itu ditebang.  Ramailah makcik-makcik datang mengambil buah kelapa muda, membuat penyapu lidi, dan budak-budak pula mengambil daun kelapa untuk membuat trompet.
Untuk membuat stadium ini, tanah ditambun, dan tempat-tempat duduk dibina melalui simen yang diturap atas tanah tambun ini macam anak-anak tangga.  Untuk menegakkan tiang lampu, tanah tempat terbinanya tiang itu digali untuk dibuat dasar konkrit tiang lampu.  Saya pernah melihat ketika penggalian dilakukan pekerja telah terjumpa dua jong (keranda) dipercayai kubur cina.  Ketika itu saya baru balik dari sekolah kebangsaan paya bunga selepas aktiviti pengakap. Ketika melalui tapak pembinaan stadium itu saya melihat ramai orang mengerumuni penemuan rangka manusia.

Monday, 23 January 2012

Lebuh raya



Pada hari Jumaat 19 Januari ketika memandu melalui lebuh raya utara selatan hala ke utara, kesesakan berlaku lebih 15 km ke jalan susur keluar Sungkai.  Kemalangan berlaku di atas jambatan dan kemungkinan terdapat kenderaan yang terlibat dan juga mungkin ada yang tercedera kerana kemalangan.  Isunya bukanlah kemalangan, namun isunya adalah sikap pengguna yang mengambil jalan mudah menggunakan lorong kecemasan sebagai cara mudah untuk memotong barisan.

Sikap pengguna menggunakan laluan berkenaan amat dikesali kerana ia amat mengganggu ambulan, jentera kren pebarik kenderaan, polis dan sebagainya ke tempat kemalangan.  Adalah diharap sangat-sangat pihak polis terus bertindak ke atas pemandu sebegini agar ia menjadi pengajaran untuk tidak mengambil kesempatan memotong barisan.



Friday, 6 January 2012

Ranking Universiti antara negara ASEAN

Negara ASEAN, Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, Thailand, Laos, Vietnam, Kemboja.

Ranking Universiti:

Ranking
Nama Universiti
Negara
Markah
28
National University of Singapore
Singapore
84.07
58
Nanyang  Technological  University
Singapore
72.51
167
Universiti Malaya
Malaysia
50.90
171
Chulalongkorn University
Thailand
50.72
217
University of Indonesia
Indonesia
45.14
229
Mahidol University
Thailand
43.08
279
Universiti Kebangsaan Malaysia
Malaysia
39.24
332
University of Philippines
Philippines
34.36
342
Universitas Gadjah Mada
Indonesia
33.84
360
Ateneo de Manila University
Philippines
31.98
401-450
Universiti Teknologi Malaysia
Malaysia

451-500
Bandung Institute of Technology
Indonesia

451-500
International Islamic University of Malaysia
Malaysia

501-550
Chiang Mai University
Thailand

501-550
Thammasat University
Thailand

551-600
De La Salle University
Philippines

551-600
Airlangga University
Indonesia

601+
Bogor Agricultural University
Indonesia


Diponegoro University
Indonesia


Kasetsart University
Thailand


Khon Kaen University
Thailand


King Mongkut’s University of  Technology Thonburi
Thailand


Prince of Songkla University
Thailand


Sepuluh Nopember Institute of Technology
Indonesia


Universiti Teknologi Mara
Malaysia


University Brawjaya
Indonesia


University of Santo Tomas
Philippines


Dalam data di atas terdapat banyak universiti yang terkemuka di negara Malaysia yang tidak disenaraikan. Universiti seperti UPM, UniMap, UMP, UMS, UniMas dan pelbagai universiti IPTA dan IPTS tiada dalam senarai berkenaan.  Bukannya universiti itu tidak baik prestasinya namun tidak disenaraikan.  Data berkenaan diragui terutamanya sebagai contoh tanpa hendak merendahkan. Penulis pernah melihat sendiri Universiti di Indonesia yang tersenarai agak kurang fasiliti berbanding dengan yang di Malaysia tetapi tersenarai dalam data ranking berkenaan.