Gambar di atas (didapati dari blog sekolah lama) menunjukkan pelajar mungkin darjah tiga menguji kemahiran berjalan di atas tiang. Saya agak gambar ini diambil pada tahun 1970an, berdasarkan jenis kereta di sebelah kiri bangunan dua tingkat.
Saya pernah bersekolah di sekolah ini bermula tahun 1962 hingga tahun 1964. Seingat saya ketika itu rumah Guru Besar adalah berada di sebelah kiri bangunan kayu dua tingkat (dalam gambar).
Rata-rata guru datang ke sekolah naik basikal atau menaiki beca. Tidak ramai berkereta kecuali guru besar. Padang sekolah (amat kecil luasnya, setakat senaman bolehlah) ketika saya belajar baru ditambak dengan tanah bukit. Keadaannya agak berbatu dan boleh mendatangakan kecederaan jika jatuh. Di atas padang ini ditanam rumput dan di pagar dengan tanda pagar kayu agar tiada orang memijak rumput-rumput yang baru ditanam. Oleh itu tiada aktiviti di depan bangunan dua tingkat semasa zaman saya bersekolah di situ.
Waktu itu semua pelajar adalah pelajar lelaki, manakala murid perempuan pula belajar di sebuah sekolah lain iaitu di Sekolah Kebangsaan Tengku Ampuan Mariam, dekat dengan mahkamah. Waktu itu mahkamah adalah terdiri daripada beberapa bangunan kayu, ketika berlangsung perbicaraan kita boleh mendengar hujah-hujah peguam dari luar bangunan. Bangunan Mahkamah tidak lama selepas itu.... 1964 terbakar.... apinya boleh dilihat jauh dan ramai orang melihat kesan kebakaran bangunan mahkamah.
Saya pernah belajar dibangunan dua tingkat ini ketika di dalam darjah 2A ditingkat atas dan darjah 3A di tingkat bawah. Ditingkat bawah hanya ada satu kelas sahaja iaitu darjah 3 A berkongsi dengan darjah 5A. Di tingkat bawah terdapat pejabat sekolah dan ruang untuk rekreasi, biasanya tempat murid-murid bermain ping pong.
Masih saya ingat kelas di tingkat atas dipisah-pisahkan oleh dinding boleh ubah.... Oleh itu kadang-kadang kita boleh melihat dan mendengar kelas sebelah belajar. Guru-guru semasa itu kebanyakannya bengis-bengis dan mereka selalu mendera pelajar yang tidak mematuhi arahan seperti tidak membuat kerja rumah atau gagal dalam peperiksaan. Salah satu deraan yang saya ingat adalah dua pelajar didenda entah apa kesalahan mereka, guru telah menyuruh dua pelajar itu menyepit satu kayu pembaris T yang panjang antara perut masing-masing. Di atas kayu pembaris itu diletakkan beg pelajar. Pelajar itu terpaksa menahan beban beg tidak jatuh. Kayu pembaris T yang bersaiz besar adalah digunakan untuk papan tulis. Deraan seperti merotan, memukul kepala, menempeleng muka, mencubit dan kadang kala tendang terajang adalah lumrah dan diterima secara positif oleh pelajar.
Ramai diantara murid-murid terdiri dari anak nelayan yang miskin. Rambut mereka disikat dan diminyakkan dengan minyak kelapa. Buku tulis amatlah sikit bilangannya. Selalunya buku tulis itu digunakan bagi berbagai mata pelajaran.